Kuota tambahan haji satu penghormatan buat negara- Pas

46

11 MAC: Kejayaan Malaysia memperoleh kuota tambahan 10,000 jemaah memperlihatkan kerajaan Arab Saudi yakin dengan kemampuan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad berkata,  pemberian kuota tambahan 10,000 tempat bagi mengerjakan ibadah Haji kepada Malaysia adalah satu penghormatan buat negara.

“Pemberian itu ternyata istimewa kerana ketika ini Malaysia sudahpun memperoleh 31,600 kuota rasmi iaitu 0.1 peratus dari jumlah penduduk negara sebagaimana diperuntukkan Kerajaan Arab Saudi.

“Kurniaan oleh Khadimul Haramain al-Syarifain, Raja Salman Abdul Aziz dan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman melalui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu menunjukkan kepercayaan kepada Malaysia. Ia juga menjadi pengiktirafan kepada operasi pengurusan Haji dilaksanakan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kamaruzaman berkata kejayaan berkenaan juga membuktikan Lembaga Tabung Haji sentiasa memberikan hospitaliti terbaik sebagaimana pujian dan penghargaan pernah diterima selama ini.

“Kurniaan tambahan besar kuota ini juga tentunya datang dari kesungguhan rundingan yang diadakan oleh Tan Sri Muhyiddin sempena lawatan kerja ke Arab Saudi.

“Hal ini tentunya menjadi satu lagi catatan pencapaian kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin. Beliau ternyata berjaya dapat menyakinkan kerajaan Arab Saudi dalam urusan yang sangat besar bagi umat Islam. Apatah lagi ketika dunia sedang terbatas dalam banyak perkara kesan pandemik COVID-19 ketika ini,” katanya.

Kamaruzaman berkata beliau berharap pemberian kuota tambahan berkenaan akan mengukuhkan lagi hubungan dua negara serta diperluaskan kepada sektor lain juga demi kepentingan ummah.

“Semoga dengan kurniaan tersebut penghayatan ibadah dalam kalangan umat semakin meningkat dan dapat meraih keampunan serta limpahan keberkatan buat rakyat dan negara ini,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.