KPM,UMNO dijemput bincang isu buku sejarah tingkatan 4

61

11 MAC: Polemik kandungan buku teks sejarah Tingkatan 4 yang didakwa mempunyai unsur-unsur manipulasi fakta berkaitan ideologi komunis termasuk  unsur-unsur mengagungkan komunis dalam perjuangan kemerdekaan negara perlu diberikan penjelasan yang sewajarnya oleh pihak berwajib.

Justeru, Pengerusi Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris berkata, pihaknya akan menjemput Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mendapat gambaran yang jelas, tepat dan benar berhubung kandungan buku teks sejarah Tingkatan 4 yang menimbulkan keresahan dan kebimbangan awam secara berterusan.

Selain KPM, menurut beliau, Ketua Pemuda UMNO Malaysia, dua mantan Menteri Pendidikan Malaysia serta beberapa pakar dalam bidang sejarah Malaysia turut akan dijemput bagi mendapat penjelasan yang seimbang dalam sesi pendengaran mesyuarat kaukus di Parlimen Malaysia.

“Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara telah mengadakan satu mesyuarat secara maya bersama anggota jawatankuasa minggu lalu yang antaranya, turut membincangkan soal kandungan buku teks sejarah Tingkatan 4 yang dikatakan telah dimanipulasikan.

“Sehubungan itu, kaukus membuat ketetapan bahawa keperluan menjemput Kementerian Pendidikan serta pihak lain termasuk mantan Menteri yang difikirkan wajar untuk hadir di depan sesi pendengaran mesyuarat kaukus kelak.

“Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara akan mengutuskan surat rasmi menjemput Kementerian Pendidikan terlebih dahulu untuk hadir di depan sesi pendengaran mesyuarat kaukus dalam tempoh terdekat ini,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Senator Datuk Razali Idris

Dalam pada itu, Razali yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia memberitahu hal sedemikian sangat serius kerana polemik ini pastinya memberi kesan dan membabitkan golongan pelajar, guru, pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG) serta sistem pendidikan negara secara keseluruhannya.

“Soal yang membabitkan pendidikan termasuk fakta sejarah perlu dilihat secara ilmiah dan intelektual, fakta yang benar dan tepat, tetapi bukanlah terarah dari sudut mainan politik semata-mata,” katanya.

Terdahulu, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara berfungsi untuk meneliti, menyiasat dan melaporkan apa-apa perkara yang dirujuk kepadanya oleh Majlis, termasuk apa-apa cadangan, usul, petisyen, laporan atau dokumen-dokumen lain yang berkaitan dengan kesejahteraan rakyat berdasarkan kepada keadaan dan isu-isu semasa.

Kaukus ini melalui Jawatankuasa Pemilih yang telah diberikan kuasa oleh Majlis melalui Usul Pelantikan Ahli Jawatankuasa Pemilih dibawah Peraturan Mesyuarat 70 pada 21 September 2020 bolehlah memanggil orang hadir dihadapannya atau meminta dikeluarkan surat-surat. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.