Kilang terus jadi pencetus utama kluster baharu

21

11 MAC: Kilang terus menjadi pencetus utama dua daripada lima kluster baharu COVID-19 yang dikesan Kementerian Kesihatan (KKM), manakala tiga lagi kluster masing –masing satu kluster tapak pembinaan, komuniti dan pusat tahanan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan pertambahan berkenaan menjadikan jumlah kumulatif kluster COVID-19 dikesan di Malaysia adalah 1,222 kluster termasuk 782 sudah tamat dan 440 kluster masih aktif.

Beliau berkata empat belas kluster yang tamat hari ini termasuklah Kluster Dialisis Masjid Tanah, Kluster Taman Bukit Petaling, Kluster Yayasan, Kluster Kampung Tanjung Selabu, Kluster Jalan Raja Muar, Kluster Jalan Berhala, Kluster Sri Menanti dan Kluster Jalan Pengiran.

NOOR HISHAM

“Turut tamat hari ini adalah, Kluster Lebuh Karak, Kluster Tapak Bina Jalan Puchong, Kluster Tapak Bina Jalan Chulan, Kluster Sri Muda, Kluster Taman Murni, dan Kluster Taman Ikan Jinak).

“Jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu ialah 65 kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Tapak Bina Queens Waterfront (70 Kes), Kluster Industri Sungai Gadut (68 kes), dan Kluster DTI Machap Umboo (67 kes),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata tiga kluster tempat kerja dikesan KKM hari ini termasuk Kluster Tapak Bina Jalan Kenangan melibatkan daerah Klang di Selangor.

Beliau berkata kes dalam kluster ini dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 11 Mac 2021 hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah tapak binaan yang terletak di Jalan Kenangan, Pekan Meru KU/8, Klang dengan sehingga 11 Mac 2021, sejumlah 121 individu telah disaring, di mana 31 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

“Kluster Teknologi Tenggara adalah kluster tempat kerja melibatkan daerah Batu Pahat di Johor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-312773) dilaporkan positif COVID-19 pada 7 Mac 2021 hasil saringan sebelum pulang ke negara asal.

“Kluster ini melibatkan pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Jalan Kluang, Batu Pahat. Sehingga 11 Mac 2021, sejumlah 146 individu telah disaring, di mana 12 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

“Kluster Jalan Masyhur Enam adalah kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Johor Bahru di Johor. Kes kluster ini dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 9 Mac 2021 hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Jalan Masyhur 6, Taman Perindustrian Cemerlang, Ulu Tiram, Johor Bahru. Sehingga 11 Mac 2021, sejumlah 173 individu telah disaring, di mana 52 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya.

Info dua lagi kluster dikesan hari ini:

KLUSTER DTI MACHAP UMBOO

Kluster pusat tahanan ini melibatkan daerah Alor Gajah di Melaka. Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 20 Februari 2021 hasil saringan sebelum pulang ke negara asal. Kluster ini melibatkan tahanan-tahanan di DTI Machap Umboo yang terletak di Jalan Alor Gajah-Selandar, Kampung Permai, Alor Gajah. Sehingga 11 Mac 2021, sejumlah 530 individu telah disaring, di mana 83 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

KLUSTER JAMBATAN SATU BOMBALAI

Kluster komuniti ini melibatkan daerah Kalabakan di Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-296950) dilaporkan positif COVID-19 pada 27 Februari 2021 hasil saringan individu bergejala. Nama kluster ini merujuk kepada lokaliti kediaman kes indeks yang terletak di Kampung Jambatan 1, Bombalai, Kalabakan. Sehingga 11 Mac 2021, sejumlah 41 individu telah disaring, di mana 15 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.