Kerajaan lanjut pemberian diskaun sewa tanah,bangunan

99

11 MAC: Kerajaan bersetuju melanjutkan inisiatif pengecualian dan pemberian diskaun 50 peratus bayaran sewa kepada penyewa tanah persekutuan dan bangunan persekutuan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata usaha itu adalah berteraskan matlamat yang digariskan kerajaan melalui Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).

Katanya, perkara itu adalah bagi menyokong kelangsungan perniagaan golongan sasaran.

“Bagi tanah persekutuan, pelanjutan pemberian inisiatif pengecualian bayaran sewaan dan diskaun 50 peratus ini membabitkan bayaran sewaan bagi tempoh empat bulan bermula 1 September 2020 hingga 31 Disember 2020 kepada seramai 259 penyewa yang diluluskan sepanjang Mac hingga Ogos tahun lalu.

“Diskaun 50 peratus diberikan untuk bayaran sewa bagi tempoh enam bulan bermula 1 Januari 2021 sehingga 30 Jun 2021 kepada semua penyewa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shamsul Anuar berkata, bagi urusan penyewaan ruang dan premis di bangunan persekutuan pula, kerajaan memberikan lanjutan pengecualian bayaran sewaan kepada penyewa yang diluluskan sepanjang Mac hingga Ogos 2021.

Mengulas lanjut, katanya, pemberian diskaun 50 peratus bayaran sewa pula adalah bagi tempoh 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2021 kepada semua penyewa.

Beliau berkata, kementerian dan agensi yang membabitkan premis milik kerajaan, antaranya taska, kafeteria serta kedai serbaneka perlu merujuk kepada Kementerian Jabatan Pengguna (KJP) masing-masing bagi pelaksanaan keputusan itu.

“Inisiatif pengecualian dan diskaun bayaran sewa ini diberikan bertujuan membantu penyewa tanah dan premis kerajaan agar dapat menyusun semula strategi perniagaan.

“Usaha ini bagi membantu mereka meningkatkan keupayaan dan kestabilan perniagaan mereka,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.