JBPM selamatkan wanita cuba bunuh diri di Stesen Monorail

105

11 MAC: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menyelamatkan seorang wanita berusia 39 tahun daripada cubaan bunuh diri dalam kejadian di Stesen Monorail di Jalan Maharajalela, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8.57 pagi tadi, wanita warga tempatan itu cuba membunuh diri dengan terjun dari atas bumbung jejantas stesen monorail yang berketinggian 9.1 meter.

Komander Operasi Kanan JBPM Kuala Lumpur, Wan Hamizan Kamaruddin berkata, wanita berkenaan turut memegang sebilah pisau, bagi menghalang usaha pasukan penyelamat menghampiri.

“Hasil tindakan pantas anggota bomba berjaya menangkap mangsa pada jam 9.28 pagi dengan selamat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Seramai 23 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah dan Pudu terlibat dalam operasi menyelamat tersebut.

Jika ada mana-mana individu yang mempunyai masalah gangguan emosi atau kemurungan anda digalakkan untuk menghubungi kumpulan sokongan anti bunuh diri, Befrienders.

Befrienders adalah sebuah pertubuhan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders dihubungi melalui talian 016-8036945 (WhatsApp) atau melalui Facbebook Messenger dan emel di [email protected] atau  https://www.help.befrienders.org.

Befrienders juga boleh dihubungi di talian 03-76272929 (Kuala Lumpur), 04-2815161 (Pulau Pinang) dan 07-3312300 (Johor Baru). Panggilan adalah percuma.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.