Isu kalimah Allah perlu dibincang lebih mendalam

84

11 MAC: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mohamad Al-Bakri menjelaskan bahawa isu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah perlu dibincangkan secara mendalam.

Menurut Zulkifli, perkara berkenaan memerlukan perbincangan secara dalaman daripada semua aspek, termasuk undang-undang dan pandangan pelbagai pihak.

“Yang ini saya tunggu dulu, saya mahu bincang dalam masa terdekat memandangkan ini melibatkan perbincangan dalaman dulu dan kemudian kita lihat (penyelesaian) apa terbaik.

“Saya kena tengok daripada segi semua aspek, undang-undang, agama kita dan pandangan terdahulu serta mutakhir, semua ini kita akan tengok, InsyaAllah. Terlalu awal saya nak komen,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, memutuskan penganut Kristian dibenarkan menggunakan kalimah Allah, selain tiga perkataan, iaitu solat, Kaabah dan Baitullah dalam penerbitan agama itu untuk pendidikan komunitinya.

Sementara itu, menurut sumber, Zulkifli dijangka akan mengadakan satu perbincangan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), berhubung keputusan mahkamah itu.

Difahamkan, pertemuan yang akan berlangsung esok itu disertai pegawai JAKIM, termasuk pegawai undang-undang agensi berkenaan.

“Pertemuan ini akan membincangkan isu keputusan mahkamah mengenai penggunaan kalimah Allah dan bentuk tindakan susulan yang bakal diambil,” menurut sumber itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.