Menteri, JAKIM bincang esok isu kalimah Allah

509

11 MAC: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan mengadakan satu perbincangan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah.

Difahamkan, pertemuan yang akan berlangsung esok itu disertai pegawai JAKIM, termasuk pegawai undang-undang agensi berkenaan.

“Pertemuan ini akan membincangkan isu keputusan mahkamah mengenai penggunaan kalimah Allah dan bentuk tindakan susulan yang bakal diambil,”menurut sumber.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dijangka mengeluarkan kenyataan berhubung isu sama dalam tempoh terdekat.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, membenarkan penganut agama Kristian di Malaysia menggunakan kalimah Allah dalam pembelajaran agama atau penerbitan buku agama mereka.

Keputusan itu dibuat hakim, Nor Bee Ariffin membolehkan penganut agama Kristian di negara ini menggunakan perkataan Kaabah, Baitullah dan solat dalam penerbitan mereka.- Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.