Fitnah: Menteri KDN Buat Laporan Polis Terhadap Lokman Adam

96

11 MAC : Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin membuat laporan polis ke atas Presiden Laskar Siber Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur, semalam.

Ia berkaitan satu hantaran dan siaran langsung di Facebook yang dibuat bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno itu mengaitkan Hamzah.

Setiausaha Politik Hamzah, Sayed Amir Muzzakkir Sayed Mohamad berkata, beliau menyedari hantaran berkenaan ketika berada di kawasan parkir KL Sentral, Ahad lalu.

Menurut beliau, hantaran itu berbunyi ‘Hamzah Zainudin Shopping Sakan, Bukan Takat MP Nak Dibeli, Parti Pun Hendak Dibeli, Apakah Keputusan MIC dan MCA?’ yang merujuk kepada Ahli Parlimen Larut itu.

“Di dalam hantaran itu, Lokman Noor Adam memfitnah Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) menemui Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail dan menawarkan sejumlah harga supaya dia melompat dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk memberikan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kenyataan ini berniat jahat, fitnah, menghasut dan memupuk perasaan benci dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan serta mendatangkan perasaan tidak tenteram rakyat terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri.

“Ia turut memfitnah peribadi Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri dengan tuduhan membeli ahli parlimen,” katanya selepas membuat laporan polis itu.

Dalam pada itu, rakaman video yang dilakukan Lokman turut tular di media sosial di WhatsApp dan Facebook yang memberi imej negatif kepada Hamzah.

“Justeru laporan itu dibuat agar pihak berwajib dapat menjalankan siasatan menyeluruh terhadap Lokman dan mengambil tindakan segera berlandaskan perundangan negara,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar mengesahkan menerima laporan tersebut dan siasatan akan dijalankan

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia.

“Setakat ini kita menerima tiga laporan berhubung perkara itu,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor Datuk Azmi Alias mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung dakwaan tawaran rasuah RM10 juta kepada Natrah.

Tambah beliau, beberapa saksi sudah dikenal pasti dan ada yang telah dipanggil dan ada yang akan akan dipanggil untuk dirakam percakapan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.