SPNB perkenal model baharu RMR untuk kawasan banjir

75

10 MAC:  Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) melancarkan model terbaharu Rumah Mesra Rakyat (RMR) bertiang bagi pemohon yang tinggal di kawasan rendah yang sering terlibat dengan banjir sebagai tambahan kepada enam model sedia ada bagi memberikan pilihan kepada pemohon produk berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hasleen Isnin berkata, model ini dijangka mendapat permintaan yang tinggi di kawasan rendah dan berisiko banjir dengan harga RM85,000 seperti model lain.

“SPNB masih mengekalkan subsidi RM20,000 kepada pemohon rumah bertiang ini yang berkeluasan 900 kaki persegi yang dilengkapi tiga bilik tidur utama dan dua bilik air.

“Kami yakin dengan adanya model seumpana ini boleh memberikan lebih pilihan kepada pemohon RMR yang rata-rata daripada golongan berpendapatan rendah.

“RMR bertiang baharu ini berkonsepkan kontemporari ini adalah lebih menarik dan dan mampu memberikan keselesaan kepada pemohon RMR. Ini merupakan tambahan kepada lima reka bentuk yang mula diperkenalkan mulai tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Lawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin ke Galeri SPNB di Saujana Resort dekat Shah Alam, Selangor semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri KPKT, Datuk Seri Ismail Mutalib dan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan.

Selain itu, penambahbaikan lain terhadap produk itu adalah pertambahan kepada polisi insurans ke atas permohonan baru RMR yang melibatkan perlindungan kebakaran dan banjir, kemalangan, badal haji, khairat kematian dan kos penghospitalan sebanyak RM100 sehari.

“Cara permohonan adalah masih menggunakan saluran biasa iaitu melalui sistem online di rmr.online ataupun pemohon boleh datang sendiri ke mana mana pejabat cawangan SPNB di seluruh negara. Kami mempunyai beberapa cawangan di seluruh negara,” katanya.

Selain itu, katanya, SPNB kini dalam proses akhir mendapatkan kelulusan dari Kementerian Kewangan untuk menaikkan syarat had kelayakan pendapatan asal bulanan seisi rumah daripada RM3,000 kepada RM5,000 bagi memberikan peluang kepada golongan B40 untuk memperolehi rumah RMR.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.