585 bebuli vaksin COVID-19 Pfizer dipulangkan kerana rosak

74

10 MAC: Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, mengesahkan sebanyak 585 bebuli vaksin daripada lebih 500,000 dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech diterima Malaysia mengalami kerosakan dan terpaksa dihantar pulang kepada syarikat farmaseutikal berkenaan.

Khairy berkata kerajaan terpaksa berbuat demikian kerana vaksin berkenaan tidak berada dalam suhu yang sepatutnya, ketika proses penghantaran dari kilang di Belgium ke Malaysia.

“Kita dapati ketika dalam perjalanan dari Belgium ke Malaysia, suhu penyimpanan itu meningkat daripada -70 darjah Celsius kepada suhu yang tidak diterima oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

khairy
KHAIRY

“Bagaimanapun, kerosakan bebuli itu adalah dalam kuantiti kecil dan pihak Pfizer akan mengganti semula bilangan dos yang dihantar pulang itu,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin, Klinik Kesihatan Rembau hari ini.

Dalam pada itu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, individu yang berumur 17 tahun pada tahun ini sudah boleh mendaftar untuk pengambilan vaksin COVID-19 melalui MySejahtera untuk menerima suntikan vaksin berkenaan pada tahun hadapan.

“Kalau mereka berumur 17 tahun sekarang, mereka boleh daftar tahun ini dan sistem akan kesan apabila dah sampai tarikh lahir mereka,” katanya.

Ditanya sama ada jadual bagi 500,000 barisan hadapan yang akan menerima vaksin pada fasa pertama sehingga bulan ini mampu dicapai, Khairy berkata sekiranya kesemua vaksin jenis Pfizer BioNTech diperoleh mengikut jadual asal, sekurang-kurangnya setiap orang akan mendapat satu dos dalam fasa pertama.

Bagaimanapun, beliau berkata sekiranya berlaku sedikit kelewatan penghantaran daripada syarikat Pfizer, kemungkinan ada dalam kalangan penerima yang sepatutnya mendapat vaksin berkenaan pada fasa pertama akan menerimanya pada April.

Mengulas mengenai kenyataan pihak yang berpendapat kerajaan akan menghadapi cabaran untuk memenuhi jadual vaksinasi sebanyak 150,000 penerima sehari, beliau berkata jumlah itu adalah bagi fasa ketiga apabila pusat imunisasi mega ditubuhkan.

“Pada masa ini kita tak perlu ada kadar pemberian suntikan yang terlalu tinggi, kita nak selesaikan barisan hadapan dahulu, fasa ketiga insyaAllah kita akan sampai kadar suntikan 150,000 (sehari),” katanya.

Sementara itu, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, kementerian akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan untuk mengenal pasti kaedah terbaik pemberian vaksin kepada golongan gelandangan, memandangkan mereka juga tergolong dalam 80 peratus penerima dalam kalangan orang awam.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.