Saf pimpinan sedia ada perlu dipertahankan- Khairil Nizam

39

10 MAC : Penyatuan dan perpaduan berpaksi kepentingan agama, bangsa dan negara yang termeterai dari Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) cukup ampuh dari dirempuh Pakatan Harapan (PH). 

Namun, Ketua Pemuda PAS, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata hanya dengan memecahkan kekuatan itulah yang memungkinkan pembangkang kembali ke persada kuasa.

Lantaran itu, beliau menyeru agar tiada yang berperangai jelik dengan mengertak agar PAS memilih secara eksklusif persaudaraan politik yang telah diikat kini. 

“Saf kepimpinan kini wajib terus dipertahankan oleh semua parti dan NGO yang bersama dalam kerajaan kini. Mari singkirkan toksik yang ada dan perkuatkan imuniti ummah.

“Kerana agenda Melayu-Islam dan Bumiputera serta keharmonian hidup rakyat berbilang kaum dan kemakmuran negara ini sangat mustahil untuk didukung secara sempit, sombong dan tanpa setiakawan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.

Dalam pada itu, Khairil Nizam yang juga merupakan Ahli Dewan Negara memberitahu politik penyatuan dan perpaduan adalah kekuatan ampuh hadapi fitnah, penipuan dan ugutan

Namun, menurut beliau, politik toksik dengan memuntahkan fitnah, menggumpal penipuan serta mengancam ugutan masih diamalkan oleh politikus berkepentingan diri dan terdesak.

“Ia petunjuk kontang jati diri dan idealisme, serta tiadanya perjuangan luhur untuk menjulang ketamadunan rakyat dan negara,” katanya. 

Menurut beliau, berbekalkan modal jijik inilah Pakatan Harapan (PH) meraih pemerintahan yang kemudian ditunggangi dengan tindakan ke arah meruntuhkan tonggak-tonggak kepentingan negara. 

Namun, beliau berkata, PAS membugar kematangan politik penyatuan dan perpaduan melahirkan semula kesedaran rakyat yang terleka dan kekuatan itulah yang membentuk Kerajaan PN. 

“Ia seperti dinyatakan oleh Presiden PAS, terhasil dari ‘langkah kanan’ yang diatur mengikut tertib proses demokrasi dan Perlembagaan. Sekali gus menyelamatkan negara dari porak-peranda angkara perebutan jawatan dan kuasa sesama PH,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini. 

“Pun begitu, politikus rakus dan tersepit terus berkelakuan buruk lagi tidak berakhlak, menyimpang moral dan etika. Diadu domba fitnah dan menipu rakyat dengan propaganda ‘kerajaan pintu belakang’. Juga dakwaan yang direka-reka untuk memburukkan reputasi kerajaan dan pimpinannya, “katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.