PPM patahkan cubaan seludup rokok bernilai RM52 juta

22

10 MAC: Taktik licik kumpulan penyeludup menggunakan modus operandi secara ‘transshipment’ dari kapal melalui perairan antarabangsa untuk menyeludup rokok ke Malaysia terbongkar selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 berjaya merampas bahan terlarang itu bernilai kira-kira RM52 juta.

PPM berjaya merampas barang tersebut selepas menahan sebuah kapal kargo di perairan Pantai Barat berhampiran Pulau Kukup, Pontian, kelmarin.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Abd Rahim Jaafar, berkata taktik sindiket terbabit terbongkar selepas pasukan PPM menerima maklumat bahawa terdapat sebuah kapal kargo yang cuba menyeludup masuk rokok dari Indonesia ke Malaysia menerusi perairan Johor dengan menggunakan kapal kargo.

“Bot ronda PPM cuba memintas kapal berkenaan dengan menyalakan ‘police light’ dan membunyikan siren namun tidak mendapat kerjasama daripada kapten kapal yang enggan memberhentikan kapal.

“Kapal kargo berkenaan berjaya ditahan sebelum berhenti di kedudukan kira-kira 2.9 batu nautika barat daya Pulau Kukup dengan bantuan dua bot ronda PPM.

“Hasil pemeriksaan ke atas kapal kargo itu menemukan sebanyak 7,000 kotak mengandungi 70 juta batang rokok tidak bercukai yang disembunyikan di dalam petak kapal kargo berkenaan.

“Proses dokumentasi dan pengiraan mendapati nilai kesemua rokok berkenaan adalah RM52 juta manakala nilai kapal adalah RM18 juta, sekali gus keseluruhan rampasan bernilai hampir RM70 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, hari ini.

Mengulas lanjut, Abd Rahim berkata, dalam operasi itu, kapal kargo berkenaan turut ditahan bersama seramai 10 kru termasuk kapten kapal membabitkan warga Myanmar dan seorang warga Singapura.

Katanya, kapal kargo yang berdaftar di Mongolia itu dikesan berulang-alik dari perairan Batam ke Perak sebanyak dua kali sejak Februari lalu.

Beliau berkata, modus operandi secara ‘transshipment’ dari kapal yang melalui perairan antarabangsa dikenal pasti digunakan oleh sindiket penyeludupan berkenaan.

“Sindiket penyeludupan rokok ini dipercayai sudah lama beroperasi dan bergerak di garisan perairan antarabangsa bagi mengelak ditahan. Sekiranya mendapati tiada pengawasan pihak berkuasa, barulah mereka memasuki perairan negara.

“Sepanjang perjalanan dari Batam ke Perak, mereka akan mencampakkan kotak rokok yang diletakkan dalam plastik ke dalam laut secara rambang sebelum ia dikutip oleh kapal kecil tempatan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua kru kapal kargo berkenaan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.