PKPD Flat Sibu Jaya, Sarawak Ditamatkan Esok

55

10 MAC : Kerajaan bersetuju untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Blok C, H, J, K, L, N dan R, Flat Sibu Jaya, Sarawak bermula esok.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hingga kini, KKM telah melaksanakan 6,875 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 390 kes telah dilaporkan.

“KKM mengesahkan baki kes aktif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan, terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

“Setelah membuat penilaian risiko dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Flat Sibu Jaya Blok C, H, J, K, L, N dan R,Sibu, Sarawak mulai 11 Mac seperti yang dijadualkan, “katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, mengenai perkembangan lain, seramai 5,036 warga asing di negara ini menjalani ujian saringan semalam dengan 88 individu disahkan positif COVID-19.

Menurut beliau, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan sehingga semalam, seramai 559,619 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan COVID-19 yang membabitkan 598,790 majikan di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 9,500 orang telah disahkan positif COVID-19 manakala 589,290 lagi adalah negatif dan sehingga kini, sebanyak 1,517 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini,” katanya.

Mengenai task force operasi pematuhan, beliau memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 451 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pergerakan (PKP)

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 393 individu dikompaun manakala 58 orang pula direman.

“Antara kesalahan direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (129), aktiviti Pusat Hiburan (82), tiada penjarakan fizikal (79) dan aktiviti Pelacuran (75).

“Selain itu, kesalahan yang turut dicatatkan iaitu rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (28), tidak memakai pelitup muka (49) dan premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (9),” katanya.

Sementara itu, berhubung Op Benteng semalam, beliau memberitahu, pasukan keselamatan berjaya menahan 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta enam buah kenderaan darat.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 103 buah bot dan kapal di perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan. Selain itu, lima orang PATI turut diusir menerusi tiga aktiviti pengusiran,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, sejak 24 Julai tahun lalu sehingga semalam, seramai 141,077 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemuanya telah ditempatkan di 77 hotel dan 11 institut latihan awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Semalam, seramai 788 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

“Seramai 7,300 individu telah dikuarantin dan 132,776 orang dibenarkan pulang manakala 1,001 lagi dibawa ke hospital, “katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.