PAS, UMNO perlu terus bermuafakat pada PRU-15 – Ahmad

192

10 MAC: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan PAS dan UMNO perlu terus bermuafakat bagi memastikan kedua-dua parti Melayu Islam terbesar itu tidak bertembung sesama sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Berikutan itu Ahmad yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berharap  pucuk pimpinan tertinggi UMNO dan PAS dapat memastikan hubungan dan kerjasama terjalin sejak pemeteraian Piagam Muafakat Nasional (MN) dapat diteruskan pada masa depan.

AHMAD

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pontian itu berkata, pertembungan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, mungkin tidak dapat dielakkan.

“Antara UMNO dan PAS kita harap tidak akan ada pertembungan. Tetapi antara UMNO dan Bersatu itu kita keep in view dahulu.

“Setakat ini memanglah kita tidak ada hubungan dengan Bersatu… jadi ia adalah dua perkara boleh kita rungkaikan kemudian. Yang penting antara UMNO dan PAS itu terlebih dahulu tidak ada pertembungan,” katanya ketika ditemui media di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Beliau berkata demikian sebelum menyertai mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Muafakat Nasional yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mesyuarat itu bakal memperhalusi dan memuktamadkan dapatan yang diperoleh daripada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Muafakat Nasional, yang berlangsung lebih awal hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, UMNO menghormati keputusan PAS untuk terus bersama dengan Bersatu di bawah lambang Perikatan Nasional (PN).

Jelasnya lagi, UMNO tidak akan mengambil pendekatan mempengaruhi sebarang keputusan atau dasar parti lain.

“Mereka (PAS) telah buat pilihan untuk bersama dengan parti PN. UMNO bersama dengan parti Barisan Nasional. Jadi itu adalah hak PAS untuk bersama dengan Bersatu dan itu tiada kaitan dgn UMNO yang ingin memperkuatkan hubungan dengan PAS.

“Hubungan UMNO dan PAS ini bermula awal lagi…ia sudah bermula 2018 dan 2019, kita juga telah meterai piagam MN pada 2019. Jadi hubungan PAS dan UMNO ini sudah bermula lebih awal daripada hubungan PAS dan Bersatu dalam PN,” katanya lagi.

Ahmad berkata, berdasarkan faktor tersebut, tiada sebab mengapa UMNO perlu memberi kata dua kepada PAS, sebagaimana yang disarankan oleh pihak-pihak lain.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.