Mohd Tamrin didakwa hina kerabat Diraja Johor

81

10 MAC: Bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Datuk Mohd Tamrin Abdul Ghafar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan membuat komunikasi jelik terhadap kerabat diraja Johor menerusi catatan di blog, tahun lepas.

Mohd Tamrin, 71, yang juga anak bekas Timbalan Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mengikut pertuduhan, Mohd Tamrin dengan menggunakan blog  tamrintunghafar di pautan https:/tamrintunghafar.blogspot.com didakwa secara sedar membuat komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain, yang dibaca di laman Page Facebook Dato Tamrin Tun Abdul Ghafar.

Catatan itu membabitkan artikel mengaitkan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Mohd Tamrin didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Media RPO Services, Jalan Persiaran Southkey 1, Kota Southkey, Johor Bahru, kira-kira 7 malam, 2 Feb 2020.

Mohd Tamrin didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Unit, Unit Jenayah Am dan Ketenteraman Awam Datuk Yusaini Amer Abdul Karim dan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman manakala Mohd Tamrin diwakili peguam bela, Muhammad Rafique Rashid Ali.

Wan Mohd Norisham kemudian membenarkan Mohd Tamrin diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Mei depan untuk sebutan semula bagi pengurusan kes.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.