Malaysia Tetap Jadi Destinasi Pelabur Antarabangsa

16

10 MAC : Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengesahkan Malaysia telah mencatatkan sejumlah RM164 bilion pelaburan yang diluluskan pada tahun 2020.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini membuktikan Malaysia tetap menjadi destinasi pelabur yang terpilih pada tahun lalu walaupun berdepan dengan kesukaran menghadapi pandemik COVID-19.

Menurut beliau, prestasi perdagangan luar juga menyumbang dalam memberikan keyakinan kepada negara untuk terus memperkukuh dan mencerdaskan ekonomi dalam jangka panjang.

“Malaysia telah mencatatkan sejumlah RM164 bilion pelaburan yang diluluskan melalui 4,599 projek dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama.

“Sektor perkilangan turut cemerlang dengan peningkatan 10.3 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan pelaburan yang dilulus sebanyak RM91.3 bilion untuk tahun 2020,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Miti dan Agensi di Menara Miti, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Azmin memberitahu kerajaan turut mensasarkan untuk menarik pelaburan yang berkualiti tinggi daripada segi teknologi dan keperluan tenaga kerja.

Beliau berkata, sasaran tersebut memerlukan dasar atau polisi baharu khususnya yang melibatkan usaha mengurangkan keperluan tenaga kerja asing.

“Pelaburan berkualiti tinggi ini adalah sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk menjadi a high income nation, ekonomi yang berdaya saing dan mengurangkan kebergantungan kepada keperluan tenaga kerja asing,” katanya.

Tambah Azmin, polisi baharu untuk menarik lebih pelaburan berkualiti tinggi memerlukan beberapa inisiatif baharu.

Justeru itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan  Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), ujarnya, akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) terlebih dahulu sebelum memperkenalkan beberapa insiatif baharu.

“Berdasarkan perbincangan kami dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), MIDA dengan MITI perlu berbincang terlebih dahulu dengan MOF mengenai inisiatif baharu untuk menarik lebih banyak pelabur ke Malaysia.

“Sudah tentulah kita nak memperkenalkan beberapa insentif untuk menggalakkan pelaburan dalam negara,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.