Malaysia dapat tambahan 10,000 kuota rasmi haji

42

10 MAC: Malaysia memperoleh tambahan 10,000 kuota rasmi haji untuk jemaah Malaysi, selepas kerajaan Arab Saudi bersetuju memberikannya.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas beliau mengadakan perjumpaan bersama Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman di Istana Yamamah, Arab Saudi.

“Kita sudah dapat keputusan baik persetujuan.

“Apabila keadaan (COVID-19) pulih sepenuhnya, kuota haji ditambah 10,000 daripada jumlah sedia ada,” katanya pada sidang media selepas menghadap Putera Mahkota.

Ketika ini, kuota rasmi haji bagi jemaah Malaysia adalah 31,600.

Berdasarkan ketetapan yang dibuat oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), kuota jemaah haji bagi sesebuah negara adalah 0.1 peratus daripada jumlah penduduknya.

“Putera Mahkota juga memaklumkan kota Mekah dan Madinah masih dalam proses pembesaran serta ini boleh menambah jumlah haji dan umrah.

“Saya dimaklumkan Malaysia akan diberi perhatian utama dalam pertambahan jumlah jemaah,” katanya.

Pertemuan 90 minit di antara Perdana Menteri dan Putera Mohammed yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Arab Saudi turut disertai Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Sesi pertemuan itu adalah kemuncak lawatan rasmi empat hari Muhyiddin ke Arab Saudi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.