Malaysia-Arab Saudi tandatangani tiga MoU

52

10 MAC: Lawatan rasmi empat hari Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ke Arab Saudi yang berakhir semalam, menyaksikan tiga memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Muhyiddin dan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Raja Salman.

Tiga MoU itu membabitkan komitmen kerjasama di antara kedua-dua negara dalam bidang pengurusan jemaah haji, pembangunan Islam dan dakwah serta majlis kerjasama peringkat menteri luar kedua-dua negara.

MoU itu turut mengandungi usaha penubuhan Majlis Penyelarasan Saudi-Malaysia (SMCC), kerjasama berkaitan pengurusan jemaah haji yang dinamakan Perkhidmatan Laluan Makkah (Makkah Road Service) serta Hal Ehwal Islam dan Dakwah.

Berdasarkan MoU SMCC, terkandung komitmen kedua-dua negara di peringkat menteri luar untuk mengadakan perbincangan dan konsultasi secara berkala dalam semua bidang.

Malaysia diwakili Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, manakala Arab Saudi dihadiri rakan sejawatannya, Putera Faisal Farhan Al-Saud.

Bagi MoU berkaitan pengurusan haji, usaha itu membabitkan persetujuan kedua-dua pihak untuk memudahkan jemaah Malaysia melakukan ibadah terbabit daripada aspek imigresen, logistik dan pelepasan.

Dokumen MoU itu ditandatangani Hishammuddin bagi pihak Malaysia dan Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Abdulaziz Saud Naif.

Secara umumnya, MoU berkenaan bertujuan mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua negara bagi memudahkan kemasukan jemaah haji dan umrah ke Arab Saudi serta sebarang perkara berkaitan ibadah itu.

Persefahaman yang bakal dipacu sebuah pasukan penyelaras itu akan bermuafakat dalam soal permit, penerbangan, kehendak kesihatan, visa dan penerbangan.

Manakala, bagi MoU berkaitan hal ehwal Islam dan dakwah, Malaysia dan Arab Saudi bersetuju bekerjasama dalam bidang berkaitan dakwah dan akidah, latihan akademik serta penyelidikan, masjid dan kebudayaan Islam, selain Al-Quran dan Sunnah.

Perkara itu akan dikendalikan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang secara umumnya membabitkan pertukaran ilmu dan maklumat berkaitan bidang berkenaan.

Hishammuddin mewakili Malaysia menandatangani MoU berkenaan manakala Arab Saudi ditandatangani Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Akidah, Sheikh Dr Abdullatif Abdulaziz.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.