Kes pengasas kecantikan cium budak lelaki diserah ke TPR

62

10 MAC : Polis akan menyerahkan kertas siasatan berhubung tindakan seorang lelaki pengasas produk kecantikan mencium bibir seorang kanak-kanak lelaki yang tular di media sosial, kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR), tidak lama lagi.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, berkata kertas siasatan yang lengkap itu akan dirujuk kepada TPR untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan sudah lengkap. Kertas siasatan akan dirujuk kepada pejabat berkenaan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di sini sebentar tadi.

Pada 16 Februari lalu, polis dilaporkan menahan pengasas produk kecantikan itu di rumahnya di ibu negara dan kemudian direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin, dipetik berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017.

Sebelum ini, video yang memaparkan seorang lelaki mencium bibir kanak-kanak yang didakwa sebagai adik angkatnya menjadi tular di media sosial.

Lelaki itu dikatakan memuat naik beberapa video yang memaparkan perlakuan sedemikian menerusi akaun TikTok miliknya, yang kini sudah dinyahaktifkan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.