3 juri awam dipilih semalam bagi perbicaraan kes pembunuhan Floyd

42

10 MAC: Tiga juri awal bagi perbicaraan kes berprofil tinggi membabitkan pegawai polis kulit putih didakwa membunuh lelaki kulit hitam, George Floyd, 46, tahun lalu dipilih semalam.

Sepatutnya, pemilihan juri dijadualkan bermula, kelmarin tetapi ditangguhkan sementara menunggu mahkamah membuat keputusan berhubung rayuan bagi penetapan pertuduhan ke atas bekas pegawai polis Minneapolis, Derek Chauvin, 44.

Hakim mahkamah di County Hennepin, Peter Cahill, kemudian memerintahkan pemilihan juri itu diteruskan walaupun Mahkamah Rayuan di Minnesota masih belum membuat keputusan berhubung rayuan berkenaan.

Akhirnya, selepas disaring berjam-jam pasukan pendakwa raya dan peguam bela dengan soalan terperinci, tiga individu pertama dipilih membarisi 12 panel juri dalam pebicaraan kes itu.

Proses pemilihan juri boleh mengambil masa hingga tiga minggu dengan penghujahan dijangka bermula pada 29 Mac depan.

Juri terpilih itu adalah seorang lelaki kulit putih berusia antara 20-an atau 30-an yang memaklumkan dirinya adalah ahli kimia.

Lelaki itu memberitahu pasukan peguam bela, dia tidak pernah menonton video tular yang memaparkan Chauvin menekan lututnya pada leher Floyd dalam kejadian terbabit.

Seorang lagi juri dipilih ialah wanita muda dikatakan berdarah kacukan yang memaklumkan bahawa dirinya ‘sangat teruja’ untuk membarisi panel itu dan tidak akan terpengaruh walaupun bapa saudaranya adalah pegawai polis, manakala juri ketiga adalah lelaki dalam lingkungan umur 30-an, bertugas sebagai juruaudit penyata kewangan syarikat.

Dia memaklumkan dirinya menyokong matlamat gerakan ‘Black Lives Matter’ untuk keadilan kaum ‘secara umum’, tetapi belum membuat keputusan berhubung kes Floyd dari sudut undang-undang.

Sementara itu, beberapa calon juri menyuarakan kebimbangan terhadap aspek keselamatan mereka susulan perbicaraan berkenaan membabitkan kes berprofil tinggi, justeru identiti mereka  tidak akan didedahkan hingga selepas perbicaraan berkenaan.

Dalam kejadian Mei tahun lalu itu yang tular melalui rakaman video, menunjukan

Floyd yang digari terbaring di atas jalan raya sambil Chauvin menekankan lututnya pada leher lelaki Afrika-Amerika berkenaan selama sekurang-kurang lima minit.

Walaupun Floyd merayu anggota polis itu membenarkan dia berdiri kerana tidak boleh bernafas dan perutnya sakit akibat tindakan terbabit, Chauvin tetap tidak melepaskannya, sehingga lelaki kulit hitam yang ditahan kerana menerupai suspek kes pemalsuan berkenaan terdiam serta tidak bergerak.

Ekoran kejadian itu, Chauvin kemudiannya ditahan dan didakwa atas pertuduhan membunuh.

Insiden kematian Floyd, mencetuskan tunjuk perasaan selama berhari-hari di Minneapolis dan bandar lain di Amerika Syarikat (AS) sebagai membantah kekejaman polis terhadap warga Afrika-Amerika.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.