Isu Kalimah Allah: Keputusan Mahkamah Tinggi perlu dirayu

289

10 MAC: Keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah disifatkan sebagai titik hitam kepada perjuangan memartabatkan perundangan Islam di negara ini.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainal Rijal Abu Bakar, berkata walaupun terdapat syarat dikenakan, keputusan itu amat mengejutkan umat Islam keseluruhannya.

“Saya masih belum memperoleh akses kepada penghakiman penuh keputusan terbabit, justeru saya tidak dapat memberi komentar kepada penghakiman itu.

MOHD ZUHDI

“Bagaimanapun, penghakiman Mahkamah Tinggi ini dilihat bertentangan dengan penghakiman Mahkamah Persekutuan di dalam kes ‘Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur v Menteri Dalam Negeri’.

“Mahkamah Tinggi perlu menjelaskan kenapakah ia tidak mengikuti ‘precedent’  Mahkamah Persekutuan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zainul Rijal berkata, pihak berkaitan perlu merayu terhadap keputusan terbabit ke mahkamah lebih tinggi.

Jelasnya, penghakiman itu perlu diteliti dan dikaji kesannya dengan mendalam.

“Setakat ini undang-undang sekatan dan kawalan pengembangan agama bukan Islam berdasarkan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan ada di semua negeri di Malaysia selain Pulau-Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak.

“Pulau Pinang pula memasukkan kesalahan penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam di dalam Seksyen 5 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang.

“Negeri-negeri yang mempunyai undang-undang itu memperuntukkan kesalahan menggunakan kalimah-kalimah terbabit sebagai suatu kesalahan jika ia disebarkan kepada orang Islam bagi merujuk kepada agama bukan Islam,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, yakin kerajaan akan melihat secara mendalam berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan penganut Kristian.

Beliau berkata, pihaknya tidak campur tangan mengenai persoalan atau perkara membabitkan badan legislatif.

“Cuma saya yakin, pihak kerajaan, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Takiyuddin Hassan akan melihat perkara ini secara lebih halus, sebagaimana komitmen yang diberikan sebelum ini.

“Komitmen terbabit adalah perlu ada keharmonian di antara mahkamah sivil dan juga pihak berkuasa agama supaya perkara ini tak menimbulkan konflik,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, membenarkan penganut agama Kristian di Malaysia menggunakan kalimah Allah dalam pembelajaran agama atau penerbitan buku agama mereka.

Penganut agama Kristian di negara ini juga boleh menggunakan perkataan Kaabah, Baitullah dan solat dalam penerbitan mereka. – Oleh  FAIZATUL FARHANA FARISH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.