DBKL pertimbang kebenaran operasi bazar Ramadan tahun ini

145

10 MAC: Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memberi banyangan bahawa kementeriannya sedang mempertimbangkan untuk membenarkan semula penganjuran bazar Ramadan dan bazaria Aidilfitri di sekitar Kuala Lumpur, sempena sambutan Hari Raya tahun ini.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, kementerian kini sedang diperhalusi di peringkat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) termasuk cadangan SOP yang akan dibentangkan ke Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan dan akan dimuktamadkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya lagi, DBKL juga sedang meneliti lokasi dan mengenal pasti peniaga yang akan terlibat termasuk melakukan pengubahsuaian gerai bagi memastikan ada penjarakan antara gerai.

“Secara umumnya MKN sudah bersedia memberikan kebenaran dan melonggarkan sektor tertentu bagi membolehkan aktiviti ekonomi berjalan.

“Secara prinsipnya kita sedang membuat persiapan untuk membenarkan bazar Ramadan dan Bazaria Aidlfitri, cuma tunggu kelulusan muktamad dari MKN terutama SOP yang dilakukan,” katanya dalam sidang media selepas berucap di perhimpunan bulanan KWP dan agensi di bawahnya Putrajaya, hari ini.

Berikutan itu, Annuar berkata antara perkara sedang diteliti oleh DBKL adalah sama ada mahu mengekalkan tapak asal di Jalan Tuanku Abdul Rahman atau mencari lokasi lain bersesuaian.

Bagaimanapaun, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata DBKL akan memastikan ruang niaga lebih baik untuk menjana pendapatan lebih baik kepada para peniaga.

“Kita tengok satu atau dua hari lagi ada dua pandangan tentang tapak lama di Jalan Tuanku Abdul Rahman tetapi tempat itu telah dinaik taraf dengan adanya penanaman pokok. Jadi kalau pindah situ takut rosak. Kita sedang kaji perkara ini.

“Bagaimanapun kita mahu supaya peniaga dapat menjana pendapatan lebih baik. Kadang-kadang tempat elok belum tentu maju berniaga, tempat tidak elok pula maju berniaga,” katanya. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.