SPRM buka kertas siasatan dakwaan Natrah ditawar RM10j

34

9 MAC : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) Johor mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan berhubung dakwaan tawaran wang sebanyak RM10 juta kepada Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail.

Pengarahnya, Datuk Azmi Alias berkata, beberapa saksi yang terlibat telah dikenal pasti dan tindakan mengesan dan merakam percakapan sedang dijalankan yang turut melibatkan Natrah.

Menurut beliau, langkah itu diambil susulan laporan berkenaan Ahli Parlimen Sekijang yang mendapat tawaran wang RM10 juta untuk beliau lompat parti.

“Satu kertas siasatan telah dibuka bagi mengesahkan aduan berhubung tawaran rasuah sebanyak RM10 juta sebagaimana yang dilaporkan dalam Facebook Ops Johor berkenaan Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail mendapat tawaran wang RM10 juta untuk beliau lompat parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Azmi menggesa agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Sekiranya mana-mana pihak yang mempunyai apa-apa bukti atau keterangan baharu sila hubungi SPRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial bahawa Ahli Parlimen Sekijang itu ditawarkan wang RM10 juta kepadanya untuk lompat parti.

Ahad  lalu, SPRM mengeluarkan kenyataan memaklumkan Natrah mengesahkan tiada tawaran rasuah berjumlah RM10 juta oleh dua individu yang didakwa untuk melompat parti.

Kenyataan itu membuatkan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempersoalkan tindakan SPRM tersebut yang menggambarkan SPRM sebagai alat politik. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.