Shahidan nafi terima dua projek lebuh raya

133

9 MAC: Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menafikan dakwaan bahawa beliau dianugerahkan dua projek runding terus lebuh raya di Kelantan dan Perak selepas menyatakan bahawa UMNO Perlis akan meneruskan kerjasama Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Shahidan yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) berkata dakwaan itu adalah tidak benar dan fitnah semata-mata kerana mahu menjejaskan reputasi dan nama baiknya.

“Perkara itu tidak benar. Setakat ini saya tidak pernah memohon sokongan untuk mendapatkan mana-mana projek secara rundingan terus kecuali projek di bawah peruntukan Ahli Parlimen bernilai RM20,000 di Arau, Perlis.

“Macam mana saya nak dapat dua projek lebuh raya di Kelantan dan Perak secara rundingan terus jika syarikat milik saya tidak pernah memohonnya. Tetapi, jika depa (kerajaan Perikatan Nasional) nak bagi Alhamdulillah dan saya akan menerimanya,” katanya ketika dihubungi wartawan PNBBC di sini, sebentar tadi.

Shahidan berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan seorang pemilik Facebook yang menggunakan nama Salahuddin Hisham yang mendakwa beliau ada mendengar khabar angin bahawa Pengerusi UMNO Perlis itu ada mendapat dua projek lebuh raya di Kelantan dan Perak secara rundingan terus.

Salahuddin mendakwa Shahidan memohon untuk mendapatkan kedua-dua projek terbabit secara rundingan terus dengan menggunakan kedudukan sebagai Pengerusi PNBBC.

Malah, pemilik laman Facebook berkenaan mendakwa Shahidan sudah menerima jawapan positif mengenai permohonannya untuk mendapatkan projek berkenaan secara rundingan terus ketika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan lawatan rasminya ke Perlis, baru-baru ini.

Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan undang-undang dan menyaman individu yang menyebarkan khabar angin dan fitnah terbabit, Shahidan berkata beliau mahu mengambil sikap tunggu dan lihat mengenai sejauh mana impak negatif perkara itu terhadap dirinya.

“Buat masa sekarang saya tidak mahu ulas lanjut kerana mahu melihat berapa lama isu ini mampu bertahan dan kesannya.

“Jika perkara ini terus mereka maka tidak mustahil saya akan ambil tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah dan khabar angin tidak benar berkenaan,” katanya.

Difahamkan isu ini timbul selepas Shahidan mengumumkan bahawa UMNO Perlis tetap akan mempertahankan kerjasama bersama BERSATU pada PRU-15 , biarpun pucuk pimpinannya mengesahkan bakal menamatkan jalinan itu di peringkat nasional.

Shahidan menjelaskan, keputusan UMNO Perlis adalah menyokong kerajaan PN dan semasa pilihan raya akan bekerjasama dengan semua parti politik Bumiputera, termasuk Bersatu dan PAS.

“Kita (UMNO Perlis) tidak mahu negeri ini dikuasai pembangkang. Malah kerjasama dengan Bersatu dan PAS wajar untuk memenangi pilihan raya,”katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita baru-baru ini. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.