Shahidan dilantik Pengerusi PR1MA baharu

42

9 MAC: Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang baharu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata pelantikan itu berkuat kuasa serta-merta.

ZURAIDA

Katanya, pemilihan Ahli Parlimen Arau itu dibuat berdasarkan pengalamannya dalam tadbir urus serta wakil rakyat selama lima penggal.

“Beliau memiliki pengalaman luas, selain pernah menjadi Menteri Besar Perlis dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini.

“Jadi ini adalah tempat yang betul untuk beliau melaksanakan misi bagi menyediakan kediaman mampu milik di negara ini, sekali gus melonjakkan prestasi PR1MA,” katanya pada sidang media hari ini.

Pelantikan Shahidan sebagai pengerusi PR1MA adalah bagi menggantikan Tan Sri Eddy Chen yang memegang jawatan berkenaan pada 2018.

Selain itu, Zuraida turut mengumumkan pelantikan Shahidan sebagai Pengerusi Perbadanan Perumahan Malaysia (NHC).

NHC ditubuhkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), bertujuan menyelaraskan semua agensi pembangunan perumahan dalam merancang pembinaan serta menyediakan pelan kewangan bagi Rumah Mampu Milik (RMM).

Mengulas mengenai NHC, beliau berkata antara fokusnya adalah melaksanakan penyelidikan dan perancangan strategik khususnya dari segi pemusatan pangkalan data perumahan, mengatasi masalah ketidaksepadanan antara bekalan dan penawaran terutama bagi perumahan mampu milik sama ada awam mahupun swasta.

Katanya, NHC juga berfungsi dalam menguruskan insentif perumahan, skim sewaan, pembiayaan perumahan, penyelenggaraan dan pengurusan unit tidak terjual. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.