Sajat dinasihat serah diri – Zulkifli

109

9 MAC: Usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamarzzaman dinasihat menyerah diri kepada pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Beliau berkata, isu itu sebenarnya boleh diselesaikan secara baik, justeru Muhammad Sajjad atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat dinasihatkan berbuat demikian bagi mengelak keadaan menjadi lebih tegang.

Zulkifli Mohamad Al-Bakri
ZULKIFLI

“Saya menasihatkan saudara Sajat supaya berjumpa pegawai JAIS dan selesaikan isu ini secara baik dan saya sudah berbincang dengan pegawai-pegawai JAIS mengenai isu sama.

“Apa yang saya lihat tindakan oleh JAIS adalah sesuai dengan keadaan,” katanya selepas menyampaikan ucapan kepada kira-kira 150 petugas badan keagamaan kerajaan di dewan Kompleks Darul Kifayah, Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas kenyataan Sajat yang mahu keluar Islam, Zulkifli berkata, ungkapan itu tidak seharusnya dikeluarkannya.

Justeru, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menggerakkan satu jawatankuasa hal ehwal agama atau Jawatankuasa Pemandu bagi menangani isu atau aktiviti yang berkaitan dengan penyelewengan ajaran Islam.

Nur Sajat pada Januari lalu mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan cara dirinya seorang lelaki yang berpakaian menyerupai wanita selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Syarie Mohamad Khalid Shaee @ Shaii.

Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam kemudiannya mengeluarkan waran tangkap terhadap usahawan kosmetik berumur 36 tahun itu selepas dia tidak hadir semasa sebutan semula kes berkenan, bulan lalu – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN DAN AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.