Polis tahan lelaki tular murtadkan wanita Islam

514

9 MAC: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, mengesahkan penahanan seorang lelaki yang dipercayai menghina agama Islam dan menghasut untuk memurtadkan wanita Islam kepada agama Hindu.

Menurut Huzir, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Suspek telah memuat naik klip video berdurasi 3 minit 11 saat melalui platform YouTube atas nama pemilik akaun Happy Family Malaysia pada pertengahan Februari tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Huzir berkata polis turut merampas sebuah telefon bimbit Oppo A5S dan kad sim Maxis lelaki berusia 29 tahun itu.

“Permohonan reman ke atas suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah akan dipohon esok bagi siasatan selanjutnya.

“Polis kini dalam usaha untuk mengenal pasti dan mengesan sama ada terdapat individu lain turut terlibat dalam kes ini,” katanya.

Huzir berkata polis turut menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan pltaform berkenaan sehingga boleh mendatangkan kegusaran serta menggangu gugat keharmonian negara.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mengancam ketenteraman dan keselamatan awam,” katanya.

Pada Februari lalu tular sebuah video memaparkan seorang lelaki mengaku telah memurtadkan seorang wanita Islam, dipercayai isterinya serta mengajar cara bagaimana hendak memurtadkan wanita Islam.

Dalam video berkenaan, lelaki itu turut didapati mengeluarkan kata-kata yang menghina agama Islam.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.