PKPD di Hostel Centennial ditamatkan mulai esok

23

8 MAC : Kerajaan bersetuju untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Hostel Centennial, Kampung Acheh, Manjung, Perak bermula esok.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM)  telah melaksanakan 1,551 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 463 kes positif telah dilaporkan.

ISMAIL SABRI

“KKM mengesahkan baki kes aktif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan, terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD Hostel Centennial, Kg Acheh, Manjung, Perak esok seperti yang dijadualkan,” katanya pada sidang media di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, mengenai task force operasi pematuhan, Ismail Sabri memberitahu PDRM telah menahan seramai 269 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP).

Tambah beliau, daripada jumlah itu, seramai 251 individu dikompaun manakala 18 orang pula direman.

“Antara kesalahan yang dilakukan adalah gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri/pelanggan (85), dan tiada penjarakan fizikal (66).

“Selain itu, turut direkodkan iaitu tidak memakai pelitup muka (65), rentas negeri tanpa kebenaran (24), aktiviti pusat hiburan (14) dan lain-lain (15),” katanya.

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata, seramai 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah serta empat buah bot dan kenderaan darat turut dirampas.

“Dalam operasi itu juga, 79 buah bot dan kapal turut dikesan di perairan negara melalui 11 aktiviti penglihatan,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, sejak 24 Julai tahun lalu sehingga semalam, seramai 140,926 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Tambah beliau, daripada jumlah itu, seramai 7,391 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 79 Hotel dan 11 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta institusi pengajian swasta di seluruh negara.

“Semalam, seramai 586 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

“Seramai 967 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 132,568 individu dibenarkan pulang,”katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.