Perpecahan undi Melayu beri ruang PH kembali berkuasa

95

9 MAC : Perpecahan undi Melayu akan menghasilkan ketidakstabilan politik yang tidak berkesudahan sekaligus menyukarkan proses menjaga kebajikan rakyat semua kaum dan agama di negara ini.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata kestabilan tersebut amat penting untuk pembinaan semula ekonomi negara.

Menurut beliau, jika perpecahan berlaku, ini akan memberi peluang terbuka kepada pembangkang dalam melihat parti-parti Melayu yang mendokong kerajaan PN tumbang.

“Dalam keadaan kita tahu bahawa DAP dan Pakatan Harapan (PH) memang mahukan undi Melayu terpecah untuk mereka kembali berkuasa, sudah pasti seruan untuk menjaga muafakat politik ini mesti dipandang serius oleh semua yang ikhlas.

“Bagi saya, sesiapa sahaja yang sengaja mahu kita berpecah dan mahu kita lemah, maka mereka adalah agen DAP dan PH. DAP dan PH memang mahukan penjajaran baharu yang melemahkan kita. Agen-agen mereka mungkin datang dalam pelbagai bentuk,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan parti itu mahu melihat ‘muafakat politik’ yang termeterai di bawah Perikatan Nasional (PN) antara Bersatu, PAS dan UMNO diteruskan sehingga selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), demi masa depan negara.

Beliau menasihati pemimpin ketiga-tiga parti itu agar terus mendukung kerajaan sedia ada sekali gus memberi fokus kepada isu rakyat yang menanggung beban berikutan pandemik COVID-19 dan kurangkan politik dalaman yang mengganggu tumpuan

Dalam pada itu, Wan Saiful menyambut baik dan bersetuju dengan nasihat Tuan Ibrahim yang pandangan beliau amat bersesuaian dengan akhlak berorganisasi dalam satu jamaah atau satu keluarga.

“Saya juga amat menghargai pandangan Datuk Seri Tuan Ibrahim yang dilaporkan berkata bila kita dukung kerajaan, kita dukunglah kerajaan (PN) ini. Jangan timbul pandangan yang menyebabkan situasi tidak berapa selesa untuk rakyat.

“Bila kita berada dalam sesuatu keluarga, maka janganlah sengaja timbulkan pandangan yang mengguris ahli keluarga. Kita mesti sentiasa menjaga semangat kekeluargaan, bukan kerap kali berusaha meruntuhkan kesatuan yang ada untuk agenda peribadi,” katanya.

Justeru itu, Wan Saiful menegaskan ketidakstabilan politik yang berlaku ini perlu dihentikan kerana rakyat mahu pemimpin lebih fokus menjaga kebajikan dan pembangunan ekonomi yang amat mencabar ketika pandemik COVID-19 melanda negara.

” Perkara yang mengusutkan suasana seharusnya simpanlah dulu. Jangan jadi agen merosakkan kestabilan politik negara.

“Keutamaan kita mestilah kestabilan dan kepentingan rakyat terbanyak. Bukan isu yang penting secara peribadi kepada lima enam orang saja,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.