Penyelarasan hutang peneroka Felda dimuktamad Mei ini

14

9 MAC: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, mengesahkan  Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bakal memuktamadkan penyelarasan senarai hutang peneroka Mei ini.

Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli, berkata ketika ini keseluruhan hutang peneroka adalah kira-kira RM12 bilion termasuk hutang kebun berjumlah RM8.8 bilion.

Beliau berkata, Felda ketika ini juga sedang melakukan proses audit dan penelitian akhir jumlah hutang sebelum mengumumkan jumlah hutang ditanggung setiap peneroka.

MUSTAPA MOHAMED
MUSTAPA

“Saya difahamkan kadar hutang peneroka kini dianggarkan sekitar RM1,000 sebulan dan jumlah yang terpaksa ditanggung itu tinggi.

“Oleh demikian, mereka perlu dibantu dengan mengurangkan jumlah hutang melalui penyelarasan yang akan diumumkan nanti,” katanya dalam lawatan ke Projek Gedung Makanan Negara di Felda Sungai Tengi Selatan, hari ini.

Turut hadir Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar.

Sebelum ini, hutang peneroka Felda dilaporkan tinggi serta kadar kutipan hutang yang tidak memberangsangkan turut memburukkan lagi keadaan dan menjejaskan kedudukan kewangan Felda.

Felda juga dilaporkan terpaksa membuat pinjaman dan kini menanggung jumlah hutang yang tinggi mencecah RM10.7 bilion bagi melancarkan operasi harian.

Pada September tahun lalu, Felda memaklumkan kerajaan bahawa ia tidak mampu membayar balik beberapa hutangnya dan mempunyai masalah kecairan sebanyak RM1.3 bilion

Dalam perkembangan itu, ditanya mengenai jumlah penyelarasan yang akan ditanggung setiap peneroka, Amiruddin berkata, ia masih dalam perbincangan dan tidak wajar diumumkan hanya dengan sejumlah angka sahaja.

“Banyak kategori hutang bagi peneroka. Ada hutang pendidikan, kedai dan komputer. Kita akan memuktamadkan jumlah hutang itu dan berita gembira berkenaan mungkin akan diumum nanti,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.