Malaysia mampu main peranan perangi Islamofobia -Riyadh

51

9 MAC: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Arab Saudi diyakini melonjakkan hubungan dulu hala antara Riyadh dan Kuala Lumpur ke tahap lebih tinggi pada masa depan.

Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al-Saud berkata, hubungan kukuh ini amat penting bukan hanya untuk kedua-dua buah negara sahaja, malah terhadap dunia Islam secara keseluruhan.

Jelasnya, kedua-dua negara boleh memainkan peranan dalam membantu umat Islam dan memerangi Islamofobia.

“Kami sangat tercabar dalam semua bentuk diskriminasi, kebencian dan salah faham yang wujud dalam dunia hari ini dan salah satu sasaran itu adalah umat Islam.

“Arab Saudi dan Malaysia boleh membantu masyarakat global untuk memahami bahawa Islam adalah kuasa untuk kebaikan dan keamanan.

“Dalam hal ini, Malaysia telah menjadi pemimpin kerana menonjolkan sikap toleransi dan kesederhanaan berhubung amalan ajaran Islam. Ini sama dengan Arab Saudi,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia di kementeriannya di Riyadh, malam tadi.

Muhyiddin kini dalam lawatan rasmi empat hari ke Arab Saudi yang hari ini memasuki hari terakhir.

Kata Putera Faisal lagi, kedua-kedua negara mahu menubuhkan Jawatankuasa Strategik Peringkat Tinggi yang akan membantu menginstitusikan kerjasama itu dan bukannya bergantung kepada usahasama tertentu sahaja.

“Kita kini mempunyai proses institusi kukuh yang akan memberikan hasil untuk kedua-dua negara, selain memastikan kita membuat tindakan susulan mengenai peluang ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Putera Faisal menjelaskan terdapat banyak peluang antara kedua-dua negara, antaranya membabitkan bidang pelaburan, suruhanjaya bersama, pendidikan dan pembangunan saintifik.

Tegasnya, langkah itu akan membantu mereka membuat susulan mengenai perjanjian dan perbincangan yang telah dipersetujui supaya dapat meneruskan momentum kukuh dalam hubungan dua hala.

Mengenai memorandum persefahaman (MoU) bakal dimeterai Arab Saudi dan Malaysia hari ini, Putera Faisal memberitahu perkara itu termasuk berkaitan Perkhidmatan Jalan Raya Makkah yang akan memudahkan jemaah haji dari Malaysia melawat negara terbabit dengan menyelesaikan proses imigresen Arab Saudi di Malaysia.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.