Lelaki ditahan bantu siasatan kes bunuh pengurus IKRAM

248

9 MAC: Seorang lelaki ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat wanita dengan kesan jerut di leher di Kajang yang disyaki menjadi mangsa pembunuhan.

Perkara itu disahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat yang memaklumkan lelaki berusia 57 tahun itu ditahan di sekitar Kajang pada jam 8.45 malam tadi.

“Suspek akan direman pagi ini bagi membantu siasatan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Semalam, mayat Pengurus Jabatan Advokasi Pertubuhan IKRAM Malaysia, Nik Khatijah Nik Mud, ditemui di sebuah rumah di Taman Bangi, Jalan Reko, Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, dilaporkan berkata mayat mangsa ditemui pada jam 9 pagi sebelum dimaklumkan seorang lelaki kepada polis melalui panggilan MERS 999 ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Nik Khatijah, 32, adalah bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berkhidmat di Ibu Pejabat IKRAM sejak tahun 2013 sebagai eksekutif Jabatan Wanita dan kini sebagai Pengurus Jabatan Advokasi. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.