Kes baharu COVID-19 terus menurun, kematian masih tinggi

26

9 MAC: Kadar kes positif harian COVID-19 kini menurun empat hari berturut-turut dengan 1,280 kes dilaporkan hari ini, sekali gus menjadi terendah pernah dilaporkan sejak Ordinan Darurat dikuat kuasakan, pada 11 Januari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan pertambahan kes hari ini jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia kini mencecah sebanyak 316,269 kes termasuk 296,379 kes atau 93.7 peratus sudah sembuh, manakala 18,704 kes masih aktif dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

NOOR HISHAM

Dr Noor Hisham berkata, daripada 1,280 kes baharu positif dilaporkan hari ini , sebanyak 1,278 adalah kes jangkitan tempatan membabitkan 919 warganegara dan 359 bukan warganegara manakala dua lagi kes import.

Beliau berkata, pihaknya juga mengesahkan bahawa seramai 2,345 kes dilaporkan sembuh hari ini, manakala 155 masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 77 memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, sembilan lagi kes dilaporkan berlaku akibat penularan COVID-19  di Malaysia hari ini, sekali gus menjadi jumlah mangsa maut setakat ini adalah 1,186 orang.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan empat kes di Selangor, dan masing-masing satu kes di Kuala Lumpur, Terengganu, Perak, Sabah, dan Sarawak.

“Sebanyak lapan kes kematian melibatkan warganegara dan satu kes melibatkan bukan warganegara. Kementerian Kesihatan (KKM) mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 464 kes (36.3 peratus).

“Daripada jumlah ini, sebanyak 368 kes (79.3 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Johor sebanyak 165 kes (12.9 peratus) dan Sarawak sebanyak 163 kes (12.7 peratus).

”Sebanyak lima kes (0.4  peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Tembok Pengkalan Chepa (2 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (2 kes), dan Kluster Jalan Awang (1 kes),” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.