Zuraida akan dapatkan penjelasan UMNO, PAS Selangor isu PeKT

158

9 MAC: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin akan mendapatkan penjelasan terperinci berhubung penolakan tawaran pelantikan jawatan Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) oleh UMNO dan PAS Selangor.

Beliau berkata, penjelasan itu bagi memastikan kesahihan keputusan dibuat kedua-dua parti terbabit.

“Kita perlu mendapatkan penjelasan terlebih dahulu sama ada ia satu situasi tulen atau sebaliknya.

“Saya ada membaca kenyataan mereka keluarkan, mereka mengadakan mesyuarat dan membuat keputusan sebegitu,” katanya.

Zuraida berkata, susulan keputusan itu, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan peringkat negeri kedua-dua parti berkenaan sebelum sebarang ketetapan dibuat.

UMNO dan PAS Selangor, semalam bersolidariti menolak pelantikan jawatan PeKT yang diagihkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Kedua-dua parti itu berpendapat bahawa jawatan dalam kerajaan bukan bahan tawar-menawar tetapi lebih kepada menjaga kebajikan rakyat dan tidak boleh digunakan untuk kepentingan politik pihak tertentu. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.