Dr Adham lawat dua beradik mangsa kemalangan

99

9 MAC: “Saya mohon kita sama-sama doakan mereka berdua dapat mengharungi tempoh kritikal ini dan semoga Allah swt mempermudahkan segalanya buat Raiha Syuhaida serta Ra’if Adam Lutfan,” kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata demikian melalui status di akaun Facebook rasminya selepas melawat dua beradik Raiha Syuhaida Remyzan, 13 dan Ra’if Adam Lutfan Remyzan, 7, masing-masing di Wad Pediatrik Hospital Kajang serta Wad Pediatrik, Unit Rawatan Rapi Hospital Tuanku Azizah Kuala Lumpur.

Raiha Syuhaida dan Ra’if Adam Lutfan kini berada dalam keadaan tenat selepas terbabit kemalangan di Jalan Saujana Impian, Kajang kira-kira jam 4 petang, Ahad lalu.

Dalam kemalangan itu, ibu bapa mereka, Remyzan Baharuddin, 42, dan Suzyla Ahmad Dahlan, 40, meninggal dunia di tempat kejadian.

Kemalangan itu dilaporkan berlaku selepas kereta jenis Perodua Bezza dinaiki mereka bertembung dengan sebuah van yang terbabas ke jalan bertentangan.

“Selepas melawat Raiha Syuhaida, saya terus menziarahi adiknya, Ra’if Adam Lutfan.

“Mari bersama kita mendoakan Mereka segera sembuh dan urusan kesihatan mereka dipermudahkan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.