Angkara cemburu, suami tetak isteri hamil sampai mati

91

9 MAC: Polis menahan seorang lelaki yang menetak leher isterinya sedang hamil sehingga mati dalam satu kejadian kes bunuh di sebuah ladang kelapa sawit, dekat Tawau, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira  jam 5 petang itu, mangsa dikenali sebagai Norhasnah Sahanin, 20-an, ditemukan meninggal dunia di ruang tamu rumah kongsi tidak bernombor dekat Kampung Tanah Merah Checkpoint, Kilometer 50 Jalan Tawau-Semporna.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, pihak polis yang menerima laporan mengenai kejadian itu pada 7.06 malam bergegas ke lokasi kejadian sebelum gerakan memburu suspek dilancarkan.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang juga warga asing berusia 22 tahun dan bekerja sebagai buruh ladang disitu melarikan diri selepas kejadian itu.

“Suspek berjaya ditahan selepas bersembunyi di kawasan ladang kelapa sawit iaitu kira-kira tujuh kilometer dari lokasi kejadian pada 12.05 tengah malam.

“Turut dirampas sebilah parang panjang berukuran 68 sentimeter bersama sarung parang warna biru dan sehelai seluar panjang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Peter berkata, hasil siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca daripada suspek yang mengetahui tentang hubungan sulit isterinya.

Katanya, mangsa bagaimanapun enggan menceritakan hubungan sulit itu kepada suspek menyebabkannya berang.

Tambahnya, pemeriksaan awal mangsa mendapati satu kesan tetakan pada bahagian belakang leher disyaki menggunakan senjata tajam selain si mati juga dipercayai sedang mengandung.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan kanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.