Kelantan benar solat Jumaat, fardu separuh kapasiti masjid

24

8 MAC: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) membenarkan pelaksanaan solat Jumaat dan fardu di negeri ini dengan bilangan jemaah 50 peratus daripada kapasiti masjid bermula esok.

Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, kuliah agama termasuk kelas Al-Quran juga dibenarkan mengikut 30 peratus kapasiti masjid dengan penjarakan fizikal satu meter antara jemaah.

Beliau yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata perkara berkenaan telah mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan solat Jumaat dan fardu dikekalkan sebagaimana dikeluarkan sebelum ini termasuk penjarakan fizikal satu meter antara jemaah.

“Maik juga amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam melaksanakan ketetapan ini dan tindakan sewajarnya akan diambil atas kegagalan untuk mematuhi SOP ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.