Rakyat Malaysia ambil garam purata 1.6 sudu teh sehari

52

8 MAC: Kajian pengambilan garam dalam kalangan rakyat Malaysia mendapati bahawa purata pengambilan garam adalah sebanyak 7.9 gram atau bersamaan dengan 1.6 sudu teh  sehari.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah, berkata kajian berkenaan menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih mengambil garam melebihi daripada saranan yang ditetapkan iaitu kurang daripada 5.0 gram (1 paras sudu teh) sehari.

Beliau berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan pengambilan garam seharusnya tidak melebihi 5 gram atau kurang dari 1 paras sudu teh sehari.

“Pengambilan garam berlebihan boleh meningkatkan risiko penyakit hipertensi (tekanan darah tinggi). Hipertensi yang tidak terkawal akan menyebabkan penyakit jantung serta strok, dan seterusnya boleh menyebabkan kematian,” katanya dalam satu kenyataan sempena sambutan Minggu Kesedaran Garam Sedunia yang bertemakan Tambah Perisa Asli, Sedikit Garam Mencukupi (More Flavour, Less Salt) hari ini.

NOOR HISHAM

Berikutan itu, Dr Noor Hisham menggesa rakyat Malaysia supaya membudayakan amalan pemakanan sihat dengan mengurangkan pengambilan garam dengan mengambil langkah-langkah termasuklah dengan mengenali nama lain bagi garam dalam makanan, seperti Sodium Nitrate, Sodium Bicarbonate, Monosodium Glutamate dan lain-lain.

Beliau berkata orang awam juga perlu membaca label dan bandingkan maklumat kandungan natrium sebelum membeli makanan.

“Hadkan pengambilan garam tidak melebihi 1 paras sudu teh sehari termasuk garam beriodin bagi mengurangkan risiko sakit jantung dan strok, utamakan perisa asli dan kurangkan penggunaan garam, sos dan kicap dalam masakan.

“Ubah suai masakan kepada lebih sihat dan kerap makan di rumah atau bawa makanan yang dimasak di rumah ke tempat kerja,” katanya.

Katanya, KKM juga melaksanakan Program Pengiodinan Garam Secara Universal (Universal Salt Iodization, USI) yang berkuatkuasa di seluruh Malaysia pada 1 Januari 2021.

“Ini adalah salah satu intervensi kesihatan awam dalam kalangan masyarakat sebagai usaha mencegah dan mengawal masalah kesihatan akibat kekurangan iodin (Iodine Deficiency Disorder, IDD).

“Sempena dengan sambutan Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2021, KKM menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar lebih prihatin dengan mengambil langkah-langkah mudah yang disarankan bagi mengurangkan pengambilan garam untuk tidak melebihi 5 gram sehari. Kerjasama semua pihak adalah amat diperlukan dalam usaha menjayakan strategi pengurangan pengambilan garam berlebihan di Malaysia.

“Semoga segala usaha kita untuk mengurangkan pengambilan garam berlebihan dapat membantu untuk mencegah dan mengawal penyakit hipertensi serta komplikasinya, dan seterusnya dapat mengurangkan kematian pramatang di kalangan rakyat Malaysia,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.