Putera Mahkota Arab Saudi sambut Muhyiddin di Riyadh

93

8 MAC: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid, Riyadh sekitar 6.30 petang waktu tempatan hari ini (11.30 malam waktu Malaysia).

Ketibaan Muhyiddin dijangka disambut Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman Abdul Abdulaziz Al-Saud secara peribadi di lapangan terbang itu.

Perdana Menteri dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman tiba dari Madinah selepas mengunjungi Masjid Nabawi dan menziarahi Makam Rasulullah.

Muhyiddin mengadakan lawatan rasmi empat hari ke Arab Saudi yang hari ini memasuki hari ketiga.

Beliau memulakan lawatan itu sejak Sabtu lalu, tiba di Mekah untuk menunaikan umrah dan diberi peluang memasuki Kaabah.

Lawatan berkenaan adalah atas undangan Raja Arab Saudi yang juga Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

Sepanjang lawatan, Muhyiddin dijangka membincangkan pelbagai usaha untuk memperkukuh hubungan dua hala, selain meneroka kerjasama baharu dalam bidang perdagangan, pelaburan, teknologi, inovasi serta hal ehwal Islam yang mampu melonjakkan hubungan baik sedia ada.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata jemputan daripada Arab Saudi kepada Perdana Menteri itu adalah satu kejayaan besar.

Menurutnya, sambutan Putera Mahkota Arab Saudi di lapangan terbang itu juga tidak tersenarai dalam jadual asal lawatan.

“Yang Mulia Putera Mahkota sendiri membuat keputusan terbabit.

“Seluruh lapangan terbang akan ditutup kerana Yang Mulia Putera Mahkota ingin menyambut Perdana Menteri di sana,” katanya kepada media Malaysia di Arab Saudi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.