PKPD Felda Jengka Ditamatkan Awal Tujuh Hari

32

8 MAC : Kerajaan bersetuju untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Jengka 1, Felda Jengka 2, Felda Jengka 7 dan Felda Ulu Jempol, Maran, Pahang bermula hari ini, tujuh hari lebih awal daripada yang dijadualkan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata hingga kini Kementerian Kesihatan (KKM) sudah melaksanakan 471 ujian saringan di lokaliti terbabit dan daripada jumlah itu secara kumulatif hanya satu kes dilaporkan.

“KKM mengesahkan kes positif hanya dikesan di Felda Ulu Jempol dan semua kontak rapat, kumpulan sasaran dalam kalangan penduduk sudah dikenal pasti, di sampel dan diasingkan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan bersetuju menamatkan PKPD Felda Jengka 1, Felda Jengka 2, Felda Jengka 7 Dan Felda Ulu Jempol, Maran, Pahang pada 8 Mac (hari ini) lebih awal daripada tarikh yang dijadualkan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, mengenai task force operasi pematuhan, Ismail Sabri memberitahu PDRM telah menahan seramai 517 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Standard Operasi Prosedur (SOP).

Tambah beliau, daripada jumlah itu, seramai 513 individu dikompaun manakala empat orang pula direman.

“Antara kesalahan yang dilakukan adalah tiada penjarakan fizikal (202), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (95), tidak memakai pelitup muka (66) dan aktiviti Pusat Hiburan (64).

“Selain itu, turut direkodkan iaitu rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (64), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (18), keluar rumah tanpa alasan munasabah (1)
dan ain-lain (7),” katanya.

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata, seramai 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan serta empat kenderaan darat turut dirampas.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 102 buah bot dan kapal di perairan negara dan sembilan buah kenderaan darat melalui 12 aktiviti penglihatan. Selain itu, empat orang PATI turut diusir menerusi dua aktiviti pengusiran, ” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, sejak 24 Julai tahun lalu sehingga semalam, seramai 135,547 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Tambah beliau, daripada jumlah itu, seramai 7,645 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 80 Hotel dan 11 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di seluruh negara.

“Semalam, seramai 983 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

“Daripada 7,645 individu yang dikuarantin, seramai 7,477 individu telah dikuarantin dan seramai 131,774 orang dibenarkan pulang manakala 903 lagi dibawa ke hospital,”katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.