Menteri Agama hadiri mesyuarat tertutup bincang isu akidah

58

8 MAC: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dijangka akan menghadiri satu perbincangan tertutup berhubung isu akidah membabitkan umat Islam di negara ini bersama tiga Pengurusan Tinggi Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) petang ini.

Difahamkan, perbincangan itu dihadiri Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Menurut sumber, perbincangan itu dipercayai akan turut menyentuh mengenai isu kontroversi keluar Islam yang dicetuskan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjat Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat.

Katanya, perbincangan itu akan berlangsung selewat-lewatnya pada petang ini.

“Ya ada pertemuan untuk membincangkan semua isu berkaitan akidah, jenayah akidah dan ummah. Mungkin juga perbincangan itu akan turut menyentuh isu membabitkan Nur Sajat.

“Kita tidak fokus isu akidah ini hanya kepada satu individu atau pihak, tetapi ia akan dibincangkan secara menyeluruh

“Perbincangan akan melihat kepada aspek menyeluruh dan tindakan strategik yang boleh diambil pihak Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Persekutuan,” kata sumber tersebut.

Beberapa hari lalu, satu rakaman video memaparkan Nur Sajat atau nama sebenarnya, Muhammad Sajjat Kamaruzzaman, 36, yang mahu keluar Islam tular di media sosial.

Berdasarkan rakaman video berdurasi 67 saat berkenaan, Nur Sajat mendakwa tindakannya itu susulan kenyataan dikeluarkan JAIN sebuah negeri. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.