KPWKM pandang serius kes suami bunuh isteri

59

8 MAC : Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memandang serius kes melibatkan seorang isteri yang maut selepas ditembak oleh suaminya, di Johor Bahru, baru-baru ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, pihaknya amat sedih memandangkan kezaliman yang berlaku itu ada kaitan dilakukan anggota keluarga sendiri.

Justeru, beliau  mengutuk sekeras-kerasnya terhadap insiden ini dan amat tidak wajar kes berkenaan berlaku lebih-lebih lagi membabitkan orang Islam.

“Wanita sepatutnya disayangi apa lagi seorang isteri tidak sepatutnya diselesaikan dengan cara begitu.

“Apa sahaja masalah yang dihadapi, kedua-dua belah pihak perlu menanganinya dengan cara baik dan tulus mengikut ajaran Islam,” katanya, hari ini.

Terdahulu, misteri kehilangan seorang wanita berumur 38 tahun yang didakwa melarikan diri dari rumahnya di Taman Saujana, Kota Tinggi, Johor sejak Isnin lalu akhirnya terjawab dengan penemuan mayat mangsa di dalam tong air biru di kawasan ladang serai di Bandar Penawar di, Johor Bahru, semalam.

Lebih menyedihkan, ibu kepada dua cahaya mata berusia tiga dan empat tahun itu dipercayai ditembak mati oleh suaminya sendiri yang berumur 43 tahun menggunakan senapang angin ketika mangsa sedang tidur.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pembunuhan tersebut dipercayai bermotifkan cemburu selain polis turut menemui surat tuntutan fasakh di rumah mereka.

Menurut beliau, suami wanita terbabit yang bekerja sebagai pemandu jengkaut dan rakannya berumur 32 tahun telah ditahan, Selasa lalu susulan daripada laporan kehilangan wanita berkenaan yang dibuat oleh jirannya.

Sementara itu, Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang memberitahu setiap pasangan yang melayari rumah tangga mempunyai ujian yang tersendiri.

Namun katanya, kedua-duanya pihak mesti menangani cabaran itu mengikut yang digariskan Islam kerana tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan.

“Saya berharap pihak keselamatan menangani isu tersebut sebaik mungkin dengan membuat siasatan secara terperinci,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.