Terima 200 aduan potong barisan suntikan vaksin COVID-19

66

8 MAC: Kerajaan yakin akan dapat memenuhi indeks petunjuk utama (KPI) untuk memberikan suntikan dos pertama kepada semua 571,802 petugas barisan hadapan yang tersenarai dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), menjelang akhir bulan ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata sehingga hari ini seramai 139,720 rakyat Malaysia terutama petugas barisan hadapan sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 Pfizer.

Pada masa sama, Khairy yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) berkata, seramai 221,819 individu lagi yang mendaftar dan mendapat tarikh janji temu bagi mendapatkan suntikan vaksin untuk fasa pertama PICK.

Beliau juga memaklumkan bahawa lebih 3.6 juta daripada 3.8 juta yang mendaftar, berbuat demikian menggunakan aplikasi MySejahtera; 173,575 melalui laman sesawang www.vaksincovid.gov.my dan 863 lagi melalui talian ‘hotline’ bermula 5 Mac lalu.

“Lima kawasan paling tinggi memberikan suntikan vaksin COVID-19 ialah Kuala Lumpur, Kota Bharu, Kuching, Kuantan dan Kota Kinabalu manakala negeri tertinggi menjalankan program vaksinasi ialah Sarawak sebanyak 22,140; Pahang (14,473); Selangor (12,336); Kelantan (11,927) dan Sabah (11,739).

“Untuk pelalian fasa pertama, kita yakin 571,802 petugas barisan hadapan yang disenaraikan dalam fasa pertama akan mendapat dos pertama pada akhir bulan ini,” katanya pada sidang media mingguan PICK menerusi aplikasi Zoom di Putrajaya, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy juga mengesahkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerima kira-kira 200 aduan bagi individu dan petugas barisan hadapan mengenai isu potong barisan bagi mendapatkan suntikan pelalian berkenaan dari seluruh negara.

Khairy berkata, antara aduan diterima adalah ada premis kesihatan yang menyenaraikan individu lain bukan petugas barisan hadapan yang berada dalam senarai penerima fasa pertama PICK untuk menerima suntikan pelalian berkenaan lebih awal.

Berikutan itu, JKJAV mengarahkan semua pusat pemberian vaksin (PPV) untuk mengagihkan lebihan dos vaksin yang tidak digunakan ke kawasan lain yang masih belum selesai menjalankan pelalian terhadap petugas barisan hadapan dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Ini adalah contoh bagaimana semua aduan pemberi maklumat (whistle blower) diambil tindakan. Saya sudah mengarahkan supaya dos berkenaan diberikan ke kawasan yang masih belum selesai lagi pemberian vaksin COVID-19,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.