Kerajaan jamin vaksin COVID-19 jemaah bakal tunai haji cukup

42

8 MAC: Kerajaan memberi jaminan mampu menyediakan jumlah dos vaksin mencukupi untuk diberikan kepada jemaah Malaysia yang bakal menunaikan ibadah haji di Makkah, Arab Saudi, pada tahun ini. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, beliau juga yakin Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai fasiliti kesihatan mencukupi untuk memberikan suntikan kepada jemaah Malaysia yang akan menunaikan haji tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Dr Adham berkata, ketika ini Malaysia masih lagi menunggu keputusan Arab Saudi mengenai jumlah sebenar kuota rakyat Malaysia akan dibenarkan menunaikan Rukun Islam kelima berkenaan.

ADHAM

“Sekiranya ibadah haji dibenarkan oleh kerajaan Arab Saudi, kita jangkakan bahawa ia mungkin akan membabitkan antara 30,000 hingga 50,000 jemaah terbabit dan ini akan memudahkan kita membuat persiapan lebih awal.

“Kita jangkakan jemaah haji Malaysia akan diberikan suntikan vaksin COVID-19 sama ada jenis Pfizer-BioNTech dan Sinovac atau AstraZeneca sekiranya ia sampai kes sini lebih awal berbanding jadual asalnya pada suku kedua tahun 2021,” katanya.

Dr Adham berkata kepada pemberita pada sidang media mingguan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menerusi aplikasi Zoom di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan memberi keutamaan kepada bakal jemaah Malaysia untuk mendapatkan suntikan vaksin lebih awal bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 apabila mereka menunai haji di Makkah, pada Ogos nanti.

Dalam perkembangan lain, Dr Adham berkata kerajaan akan membuka peluang kepada pengamal perubatan am swasta untuk memainkan peranan aktif dalam fasa kedua dan ketiga  Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), mulai April dan Mei ini.

Beliau berkata, persetujuan membabitkan pengamal perubatan am swasta itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

Berikutan itu, Dr Adham berkata JKJAV sudah melantik Protect Health Corp Sdn Bhd, agensi diperbadan di bawah KKM pada 19 Disember 2016, sebagai pelaksana pengamal perubatan swasta dalam program pelalian itu.

“Pelantikan ini berdasarkan kepada pengalaman dan keupayaan Protect Health dalam mendaftar, menyelaras, memantau kualiti dan menguruskan pembayaran kepada pengamal perubatan am swasta bagi Skim Peduli Kesihatan B40 (PEKAB40).

“Skop tugas Protect Health yang akan dilaksanakan termasuk mendaftarkan pengamal perubatan am swasta, menguruskan pembayaran, memberi manual serta memantau aktiviti vaksinasi yang dijalankan.

“Pengamal perubatan am swasta yang berminat menyertai program bagi fasa kedua dan ketiga perlu berdaftar bermula hari ini, melalui www.protecthealth.com.my. Maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata, KKM tidak menerima sebarang aduan atau maklumat mengenai kesan samping yang teruk dialami 139,720 penerima vaksin COVID-19 Pfizer setakat ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan ada antara penerima mengalami kesan samping yang biasa dialami oleh mana-mana penerima vaksin seperti kesakitan pada lengan yang disuntik. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.