Hubungan Bersatu-UMNO Perlu Diperkukuh Demi Akar Umbi

33

8 MAC : UMNO perlu memikirkan hubungan akar umbi antara parti itu dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dilihat semakin utuh dan bersatu di bawah Perikatan Nasional (PN).

Justeru itu, Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Johor Bharu, Razrul Anuar Rusli mengharapkan UMNO tidak bermain tarik tali dalam soal menjalinkan kerjasama dengan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

RAZRUL ANUAR

Menurut beliau, pihaknya menaruh harapan agar kerjasama yang dijalankan itu akan terus berkekalan demi menjaga kepentingan Melayu di negara ini.

“Sekarang ini kita faham sebab apa mereka bermain tarik tali tapi kita tidak mahu masuk dalam kancah masalah itu. Sebab itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ingatkan jangan masuk campur urusan itu.

“Sungguhpun UMNO mengambil keputusan tersebut, kita masih berharap pada PRU-15 nanti, kita boleh kembali bersama-sama. Yang penting orang Melayu jangan berpecah, itu yang kita sayang sekali,” katanya, hari ini.

Terdahulu, Bersatu memandang serius terhadap kandungan surat dihantar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana akan memberi implikasi yang besar terhadap kerjasama antara parti berkenaan, UMNO dan PN.

Setiusaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata Bersatu juga memutuskan untuk terus fokus memperkasakan gerak kerja bersama rakan-rakan dalam parti PN iaitu PAS, STAR, SAPP dan Gerakan berlandaskan perjuangan yang jujur dan ikhlas kepada rakyat bagi memenangi pilihan raya akan datang.

Hamzah berkata, Bersatu juga berpendirian bahawa Kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin masih utuh dan berfungsi untuk memberi khidmat kepada rakyat.

Walau bagaimanapum, Razrul Anuar memberitahu, pihaknya menghormati keputusan yang dilakukan oleh UMNO dan tidak akan ‘menyerang’ parti berkenaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.