Hargai Diri, Jadi Wanita Yang Hebat- Raja Permaisuri Agong

33

8 MAC : Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, mengingatkan para wanita supaya sentiasa menjaga kesihatan fizikal dan mental diri sendiri serta keluarga.

Raja Permaisuri bertitah, ini kerana seorang wanita yang bahagia akan mampu membawa kebahagiaan kepada semua orang di sekelilingnya.

Justeru, Tunku Azizah mengingatkan setiap wanita supaya menyayangi dan menghargai diri sendiri untuk menjadi seorang insan yang hebat dan bahagia.

“Wanita waja mampu mengharungi setiap cabaran yang datang dan kekuatan yang diberikan oleh Allah SWT itulah istimewanya kita wanita. 

“Sebagai seorang isteri, ibu, Permaisuri dan wanita pertama negara ingin mengingatkan wanita semua, sayangilah dan hargai diri sendiri dan dengan ini anda akan menjadi insan bahagia yang hebat.

“Wanita yang bahagia sudah pasti mampu membawa kebahagian kepada semua insan di sekelilingnya.Marilah bersama-sama menjaga kesihatan kita keluarga baik kesihatan fizikal mahupun mental. Sejahtera wanita, sejahteralah negara,” titah baginda sempena Hari Wanita yang disiarkan menerusi Facebook Istana Negara, hari ini. 

Dalam pada itu, Raja Permaisuri bertitah kekuatan wanita terserlah ketika pandemik Covid-19 yang melanda negara kini apabila mereka mampu bangkit serta cekal mengatasi sebarang cabaran. 

Titah Baginda lagi, ini sesuai dengan tema sambutan Hari Wanita tahun ini – Wanita Bangkit Mendepani Cabaran.

“Di sinilah kita melihat kekuatan seseorang insan yang bergelar wanita. Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, wanita tetap mampu bangkit dan cekal serta berjaya keluar daripada cabaran tersebut. 

“Sempena hari wanita yang akan disambut pada 8 Mac 2021, saya ingin menyeru agar kita semua menghargai wanita. Sayangi, hormati dan berlemah lembutlah dengan mereka,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.