Fasa dua sesi persekolahan berjalan lancar, patuh SOP

39

8 MAC: Sesi persekolahan fasa dua membabitkan murid tahun tiga hingga tahun enam yang bermula hari ini, berjalan lancar dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Tinjauan PN BBC di beberapa sekolah sekitar Lembah Klang mendapati, bukan sahaja pihak sekolah mengikut garis panduan ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM), malah murid dan ibu bapa yang menghantar serta menjemput pulang mematuhi peraturan.

Ketika tiba di luar pintu pagar sekolah, setiap murid diminta beratur mengikut penjarakan fizikal, diperiksa suhu badan dan memakai pelitup muka sebelum dibenarkan melepasinya.

Sebaik loceng tamat sesi persekolahan berbunyi, murid perlu berbaris mengikut kelas masing-masing dan kemudiannya sekali lagi beratur untuk menuju ke dewan utama, sebelum menuju ke pintu pagar mengikut giliran dan diambil ibu bapa atau menaiki bas sekolah.

Di luar pintu pagar sekolah, keadaannya juga terkawal apabila setiap ibu bapa dan pengusaha bas sekolah tidak bersesak menanti murid keluar, selain mengamalkan SOP.

Selain itu, tinjauan mendapati, biarpun KPM memberi kelonggaran berhubung pemakaian murid pada sesi persekolahan secara bersemuka 2021 sehingga cuti pertengahan penggal, majoriti ibu bapa tetap mengenakan pakaian seragam untuk anak mereka.

Seorang ibu, Nas Zamimi Nasbah, 38, berkata pilihan untuk menyarungkan seragam sekolah kepada anak-anaknya adalah kerana dia sudah menyediakan persiapan barangan persekolahan mereka, seperti pakaian, beg, buku dan alat tulis sejak hujung tahun lalu.

Nas Zamimi Nasbah

Katanya, walaupun tiada pengumuman rasmi tarikh sebenar sesi persekolahan secara bersemuka akan dimulakan ketika itu, dia tetap mnembelinya supaya lebih bersedia dan tidak tergesa-gesa pada saat akhir.

Ditanya perasaan anaknya untuk menjejakkan kaki ke sekolah, ibu kepada empat cahaya mata comel itu yang masing-masing belajar di tahun empat dan kembar tiga di tahun tiga di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 20, Shah Alam, memaklumkan kesemua mereka teruja menantikan detik pembelajaran secara bersemuka bermula.

“Walaupun anak saya, Batrisyia Faliha Mohd Faizal, 10, baru pertama kali memulakan persekolahan pada sesi pagi tahun ini, dia mudah bangun dan tidak sabar berjumpa kawan-kawan yang sebelum ini dilihat ketika pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Sebagai ibu saya berharap sesi persekolahan anak saya berjalan lancar dan gembira kerana sekolah nampaknya sudah melakukan yang terbaik untuk menerima murid, jadi semua ibu bapa diharap memberi kerjasama untuk memastikan keselamatan anak terjamin,”katanya.

KPM sebelum ini mengumumkan pembukaan sekolah fasa 1 yang membabitkan murid pra sekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua bermula 1 Mac lalu, manakala bagi Fasa 2, iaitu terdiri daripada murid Tahun 3 hingga Tahun Enam dimulakan hari ini.

Persekolahan menengah pula akan memulakan sesi pada 4 April depan bagi sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala negeri lain pada 5 April depan – Oleh: FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.