Dakwaan Pas anjur solat hajat untuk Paul Yong satu fitnah

119

8 MAC: PAS Perak menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya parti itu mengadakan solat hajat untuk Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh, Paul Yong Choo Kiong agar dibebaskan daripada kes rogol sepertimana yang  sedang tular di media sosial.

Ketua Penerangannya, Hafez Sabri menjelaskan PAS Perak tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada ahli parti untuk berbuat demikian.

Berikutan itu PAS Perak mengecam tindakan, infografik yang menggunakan nama Harakatdaily itu cuba mengelirukan orang ramai seolah-olah ia dikeluarkan oleh Harakahdaily serta telah banyak mengeluarkan propaganda murahan serta kenyataan-kenyataan fitnah terhadap PAS sebelum ini.

“Pendirian PAS Perak adalah jelas tidak mencampuri sebarang urusan mahkamah. Bagi PAS Perak Mahkamah berhak untuk mengadili mana-mana individu secara bebas dan adil tanpa campur tangan mana-mana pihak.

“PAS Perak akan membuat laporan polis supaya fitnah yang disebarkan oleh Harakatdaily ini diambil tindakan oleh pihak berwajib bagi menutup pintu fitnah yang sedang dimainkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu tular di media sosial dakwaan mengatakan bahawa PAS Perak mengarahkan semua ahli melakukan solat hajat supaya Paul Yong dibebaskan dari tuduhan merogol pembantu rumahnya, kira-kira dua tahun lalu.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak menetapkan sembilan hari bermula 30 Mac ini untuk perbicaraan kes rogol pembantu rumah membabitkan, Paul Yong.

Berikutan itu Hakim Datuk Hashim Hamzah menetapkan tarikh 30 Mac hingga 9 April itu selepas Paul Yong, 50, mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol pembantu rumahnya berumur 23 tahun di kediaman beliau di Meru Desa Park pada 7 Julai 2019 antara 8.15 dan 9.15 malam.

Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen, namun pada 15 Disember lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan agar kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Yong pertama kali didakwa atas pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen di sini, pada 23 Ogos 2019 ketika beliau memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru negeri.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.