Cabaran besar mengelak kluster ambil anak balik sekolah

84

LEBIH satu juta murid meliputi Prasekolah, Tahun Satu dan Dua di seluruh negara telah memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah bermula minggu lalu.

Hari ini, kira-kira dua juta murid Tahun Tiga hingga Tahun Enam pula memulakan proses pembelajaran di sekolah setelah  setelah sekian lama hanya mengikuti Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).

Murid-murid pastinya teruja mengikuti proses pembelajaran secara bersemuka di bilik darjah setelah sekian lama hanya hanya mengikuti  PdPR.

Selain berpeluang bertemu rakan-rakan yang telah lama tidak bersua secara bersemuka, tumpuan yang lebih juga pasti dapat diberi semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas berbanding PdPR.

Tiada lagi gangguan suara adik-adik menangis, suara abang atau kakak bercakap dan pastinya juga tiada masalah capaian internet atau ketiadaan gajet mencukupi untuk mengikuti PdPR.

Sesi soal jawab antara guru dan murid juga lebih senang dilakukan berbanding ketika sesi PdPR di mana hanya guru yang lebih banyak bercakap manakala interaksi antara murid dan guru tidak begitu berkesan.

Namun begitu, sesi persekolah secara langsung untuk murid prasekolah dan semua Tahun ini juga bermakna kini terdapat kira-kira tiga juta murid sekolah rendah bersekolah setiap hari.

Dicampur bilangan ibu bapa yang hadir ke sekolah setiap hari untuk menghantar atau mengambil anak-anak mereka balik sekolah, jumlah ibu bapa dan murid-murid yang hadir ke sekolah setiap hari mungkin melepasi bilangan empat juta orang.

Di sinilah sebenarnya cabaran bermula bukan sahaja kepada guru-guru tetapi juga ibu bapa sendiri untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan wujud kluster ambil anak balik sekolah.

Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan SOP jelas yang perlu diikuti sepanjang sesi persekolahan. Pelajar perlu memakai pelitup muka, melalui pemeriksaan suhu badan, menggunakan pembasmi kuman selain mengamalkan penjarakan fizikal.

Kedudukan meja murid di dalam kelas juga dijarakkan satu meter antara satu sama lain selain murid-murid tidak digalakkan membeli  makanan di kantin sendiri, malah perhimpunan murid setiap minggu juga tidak diadakan seperti kebiasaan.

SOP murid semasa balik sekolah juga telah ditetapkan di mana murid-murid tidak dilepaskan untuk pulang secara serentak sebaliknya dilepaskan secara berperingkat mengikut Tahun dan kelas.

Namun begitu, berdasarkan permerhatian penulis sepanjang sesi persekolahan minggu lalu dan hari ini, cabaran sebenar bukan ketika murid berada di dalam kawasan sekolah sebaliknya sebaik sahaja kaki mereka melangkah keluar dari pagar sekolah.

Ibarat hadir menyaksikan konsert penyanyi terkenal, ibu bapa berpusu-pusu hadir untuk mengambil anak-anak mereka dari sekolah tanpa menghiraukan soal penjarakan sosial.

Walaupun memakai pelitup muka, ibu bapa bapa atau penjaga berkerumun menunggu kepulangan anak masing-masing di hadapan laluan keluar, malah ada yang berpusu-pusu di pagar mengintai anak-anak pulang.

Situasi itu berlaku ekoran keinginan ibu bapa atau penjaga untuk mengambil dan membawa anak-anak mereka pulang secepat mungkin.  Mungkin mereka mengejar masa kerana anak-anak perlu segera balik, makan dan bersiap untuk ke sekolah agama sebelah petang pula.

Walau apa jua alasan, keselamatan diri dan anak-anak perlu diutamakan. Kita tidak mengetahui dengan jelas sama ada insan yang berlaga bahu dengan kita semasa menunggu anak balik sekolah itu membawa virus COVID-19 atau tidak.

Usah pandang ringan pada COVID-19 dengan beranggapan kita sihat dan tidak membawa virus ini bersama, maka tiada masalah berlaga bahu dengan ibu bapa lain.

Menyentuh mengenai ketakutan terhadap COVID-19 ini, kadangkala kanak-kanak lebih takutkan virus ini berbanding orang dewasa yang memandang ringan pandemik ini.

Pada awal persekolah minggu lalu, anak rakan penulis yang baru memasuki alam persekolahan Tahun 1 tidak mahu keluar daripada pagar sekolah selepas takut melihat begitu ramai ibu bapa berkerumum di luar sekolah.

“Tak nak keluar, tak nak keluar, dekat luar itu banyak kuman,” itulah kata-katanya menyebabkan guru akhirnya terpaksa menelefon bapanya untuk mengambil murid berkenaan.

Hari ini pula, penulis menyaksikan seorang murid sesi petang tidak mahu masuk ke dalam kawasan sekolah selepas melihat terlalu ramai berkerumun di hadapan laluan keluar masuk sekolah.

Jika kanak-kanak pun takut dijangkiti COVID-19  selepas melihat begitu ramai ibu bapa berkerumun tanpa penjarakan fizikal di hadapan sekolah, mengapa kita orang dewasa yang lebih bijak tidak boleh berfikir yang mana baik dan yang mana tidak.

Tidak salah kiranya memberitahu anak-anak agar tidak perlu tergesa-gesa untuk keluar dari kawasan sekolah secepat mungkin, mungkin boleh tunggu dahulu selama 10 minit sehingga bilangan murid dan ibu bapa yang menunggu berkurangan.

Ibu bapa pula tidak perlulah berkurumun di hadapan laluan keluar murid-murid, sebaliknya boleh tunggu di dalam kereta masing-masing terlebih dahulu.

Jika sekolah tidak ikut SOP, ibu bapa lantang bersuara, namun jika mereka yang gagal siapa yang patut dipersalahkan?

Perlu diingat, penting untuk kita mematuhi SOP, akur arahan dibuat bagi kekang penularan COVID-19.

Janganlah sampai ada kluster ambil anak balik sekolah dan sekolah ditutup lagi kerana kelalaian kita sendiri. 

Justeru itu, segala SOP dan pematuhannya oleh semua pihak adalah cabaran besar yang harus dihadapi bagi mengelak kewujudan kluster baharu ini. – Oleh ROSLI HASSAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.