Angka kes harian terendah sejak pelaksanaan Darurat

23

8 MAC: Jumlah kes harian baharu sebanyak 1,529 yang dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memperlihatkan trend penurunan positif sejak beberapa hari lalu, di mana ia menjadi angka terendah yang direkodkan semenjak pelaksanaan Ordinan Darurat yang dilaksanakan 11 Januari lalu.


Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, biarpun secara keluruhannya kadar kes baharu positif COVID-19 hari ini menurun kepada 1,529 kes, namun Selangor tetap menjadi negeri mencatatkan jumlah kes harian tertinggi dengan 746 kes.

“Selangor kekal mencatatkan kes harian tertinggi hari ini dengan 726 kes baharu diikuti Sarawak (252 kes), Johor (120 kes) dan Negeri Sembilan (89 kes). Hanya Labuan tidak mencatatkan sebarang pertambahan kes hari ini,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Bagi kes aktif menunjukkan penurunan kes apabila mencatatkan 20,333 kes berbanding semalam, 21,159 kes dan sebanyak 174 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 81 kes memerlukan bantuan pernafasan.

KKM juga mengesahkan lapan lagi kes kematian berlaku akibat COVID-19 hari ini termasuk tujuh rakyat tempatan dan satu warga asing.

Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan masing-masing dua kes di Sabah, Pulau Pinang, dan Johor, serta masing-masing satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak. Sebanyak tujuh kes melibatkan warganegara dan satu kes bukan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka.


Semalam beliau berkata, Malaysia terus merekodkan kes sembuh melebihi 2,000 kes iaitu sebanyak 2,506 kes sembuh sekali gus mengatasi kes positif iaitu 1,683 kes dengan lapan kluster dan tiga kematian.

Menerusi perkongsian hantaran itu, Dr Noor Hisham memaklumkan negeri lain yang mencatatkan pertambahan kes hari ini ialah Pulau Pinang dengan 76 kes baharu dan masing-masing 71 kes dilaporkan di Sabah dan Kuala Lumpur.

“Turut menunjukkan pertambahan kes hari ini ialah Perak (49); Kelantan (28); Perlis (17); Terengganu (13) Kedah (sembilan); Melaka (empat); Pahang (tiga) dan Putrajaya (satu),” katanya.

Terdahulu, Dr Noor Hisham berkata Mesyuarat Khas Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) telah bersetuju melibatkan Pengamal Perubatan Am Swasta (GP) bagi memaksimumkan akses pengagihan vaksin dengan lebih meluas kepada rakyat.

Beliau berkata penglibatan GP ini adalah bagi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 2 dan Fasa 3.

“Bagi tujuan ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melantik ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) sebagai pelaksana penglibatan GP dalam PICK.

“ProtectHealth diperbadankan pada 2016 di bawah KKM sebagai sebuah syarikat yang tidak berasaskan keuntungan. GP yang berminat untuk terlibat dalam PICK bagi Fasa 2 dan 3, perlu berdaftar dengan ProtectHealth bermula 8 Mac 2021 melalui laman web www.protecthealth.com.my. Maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.